KUALA LUMPUR- Jumlah kes positif Covid-19 meningkat lagi hari kepada 26 berbanding 20 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia adalah sebanyak 9,175 dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 219.

Kesemua kes aktif dengan kebolehjangkitan telah diasingkan dan diberikan rawatan.

Jumlah pesakit yang perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat kepada enam orang dengan seorang memerlukan alat bantuan pernafasan. Tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, daripada 26 kes baharu yang dilaporkan hari ini, tiga adalah kes import yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan seorang warganegara asing.

Manakala 23 kes penularan dalam negara pula melibatkan 20 warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

Kedah terus menjadi penyumbang terbanyak kes baharu positif Covid-19 penularan tempatan hari ini dengan keseluruhan kes adalah 14 yang mana 10 kes adalah daripada Kluster Tawar, tiga daripada kluster baharu iaitu Kluster Sala manakala satu kes di bawah Kluster Kuala Muda.

Terdapat dua kes baharu dari Kluster Tawar dikesan di Pulau Pinang hari ini.

Dua kesĀ  baharu direkodkan di Kuala Lumpur dan masing-masing satu kes di Johor dan Perlis.

Menurut Dr. Noor Hisham, tiga kes penularan tempatan yang melibatkan warga asing telah dikesan di Kuala Lumpur (dua kes) dan satu di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette