Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar pihaknya atau wakil pekerja dilibatkan dalam pembentukan jawatankuasa khas bagi mengubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara.

Cadangan itu menyusul selepas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pembentukan jawatankuasa yang akan membantu pemulihan ekonomi dengan lebih pantas itu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia bagi membolehkan pandangan secara menyeluruh daripada semua penjawat awam diambil kira dalam melaksanakan usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, penglibatan CUEPACS dan wakil pekerja dalam jawatankuasa atau pasukan petugas khas berkenaan akan membolehkan setiap langkah pembahbaikan dibentuk daripada mereka yang sememangnya pakar serta mewakili pihak yang akan melaksanakan penambahbaikan tersebut.

“Input dan pandangan daripada pihak yang akan melaksanakan penambahbaikan tersebut amat penting dalam menjayakan cadangan Perdana Menteri.

“Kita tidak mahu langkah penambahbaikan tersebut jika dilaksanakan pada masa akan datang sebenarnya tidak memacu sistem perkhidmatan awam bergerak ke hadapan akibat daripada kesilapan pada peringkat awal pembentukan jawatankuasa khas ini.

“Kita tidak mempunyai masa lagi untuk membuat kajian semula sekiranya langkah-langkah penambahbaikan tersebut gagal dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mahu kerajaan memastikan setiap penambahbaikan yang dilaksanakan tidak meminggirkan kebajikan penjawat awam.

Tambah Adnan, setiap dasar atau cadangan yang bertujuan menambahbaik sistem perkhidmatan awam perlu dilaksanakan dan ditunaikan sekiranya telah diumumkan.

Jelasnya, CUEPACS tidak mahu rancangan penambahbaikan sistem perkhidmatan awam termasuk hal-hal berkaitan kebajikan penjawat awam ditangguhkan setelah pelbagai kajian dilaksanakan.

“Dalam masa yang sama CUEPACS menyeru agar semua penjawat awam sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan perubahan norma baharu dalam kehidupan ketika ini.

“Penjawat awam perlu terus melihat ke hadapan, mengurangkan kerenah birokrasi serta bekerja dengan lebih baik agar dapat menjayakan hasrat kerajaan memulihkan ekonomi negara lebih pantas,” ujarnya.

Sementara itu, Adnan mengakui sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa menunjukkan peningkatan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang hampir 63 tahun negara mengecapi kemerdekaan.

Menurut beliau, ia tidak boleh dinafikan sekiranya dibuat perbandingan dengan negara-negara ASEAN lain, sistem penyampaian perkhidmatan awam di Malaysia lebih baik dan berkesan dalam memberi khidmat kepada negara dan rakyat.

Justeru katanya, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, langkah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam adalah penting supaya pelan-pelan pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas teruk berikutan wabak Covid-19 tidak terbantut dengan kerenah birokrasi yang tidak perlu. – MalaysiaGazette