Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yb Zuraida Kamaruddin ketika hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Asia Pacific Conference of Young Scientist 2019 di Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2020.

SUBANG – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti semahu mereka bersandarkan kepada demokrasi di negara ini.

Bekas Naib Presiden PKR itu bernada sinis bahawa lepas banyak parti di negara ini ia lebih bagus.

“Semua rakyat Malaysia mengamalkan demokrasi mereka berhak untuk menubuhkan parti apa pun yang mereka nak.

“Parti Tupperware, parti apa pun boleh,” katanya kepada media dalam sidang media selepas menghadiri program Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan beliau tentang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menubuhkan parti baharu, minggu lalu.

Pada 7 Ogos, Dr Mahathir yang disingkirkan daripada parti Bersatu yang diasaskan olehnya, menubuhkan Pejuang sebagai parti berasaskan Melayu yang tidak terikat dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Menurut Mahathir, parti itu ditubuhkan memandangkan parti lain yang berasaskan Melayu dan pribumi telah menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.