Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman (kiri) melihat proses permohonan lesen sementara berniaga pada Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja di Kawasan Bandar Baru Sungai Buloh di Dewab Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 OGOS 2020

SHAH ALAM – Seramai 80 peniaga dan penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh bakal ditempatkan di suatu kawasan pusat yang dikenali sebagai Arked.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, sehingga kini lokasi Arked itu belum dimuktamadkan oleh kerajaan negeri dengan mempertimbangkan cadangan yang diutarakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Justeru itu, semua penjaja, kata beliau, akan diberikan permit berniaga sementara menerusi Program  Penyusunan Semula Peniaga / Penjaja Di Kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20, Shah Alam yang berlangsung hari ini di Dewan Meranti. 

“Lokasi kita kena kenal pasti kita berbincang dengan MBSA mencari tapak, MBSA ada mencadangkan beberapa lokasi, tetapi kita akan tanya para peniaga kesesuaian lokasi.

“Buat waktu ini kita beri permit sementara kita benarkan mereka berniaga dulu sementara kita mencari jalan untuk susun semula para penjaja di sini,” katanya kepada pemberita.

Sekiranya lokasi Arked telah dimuktamadkan, Khairuddin menjangkakan proses pembinaan tapak akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Beliau memaklumkan satu pusat Arked boleh menempatkan lebih kurang 300 penjaja.

Untuk rekod, Program Penyusunan Semula Peniaga / Penjaja Di Kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20, Shah Alam bertujuan untuk memberikan permit sementara kepada peniaga kecil dan penjaja di kawasan Selangor berdasarkan syarat minimum yang ditetapkan oleh MBSA.

Program tersebut berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Dalam pada itu Khairuddin memberi amaran kepada para peniaga dan penjaja yang mendapat kelulusan tetapi beroperasi dengan menyalahgunakan kemudahan yang diberikan dengan membiarkan warga asing mengambil alih perniagaan mereka.

Kerajaan Negeri Selangor, tegas beliau, tidak akan berkompromi dengan tindakan melanggar undang-undang tersebut.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han ketika berucap dalam program berkenaan berkata, antara kriteria atau syarat minimum yang perlu dipenuhi penjaja untuk mendapatkan permit sementara daripada MBSA adalah jaminan keselamatan dan amalan kesihatan yang sudah tentu berkaitan dengan pencegahan penularan Covid-19.

“Saya meminta MBSA beri bantuan kepada warga warganegara yang dapat memenuhi syarat minimum untuk memberi lesen sementara,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan.

Beliau berharap agar program pada hari ini akan dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada para peniaga kecil dan penjaja tentang ketetapan yang perlu dipatuhi sebelum mereka dibenarkan beroperasi. -MalaysiaGazette