Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi semasa hadir untuk menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2020.

TANJUNG MALIM – Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili parti baharu, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan anak tempatan di kawasan Tanjung Malim.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peguam itu berasal dari Teluk Intan dan sepatutnya bertanding di sana.

Jelas beliau, ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memerlukan calon yang memahami aspirasi masyarakat tempatan.

“Calon mereka bukan orang sini dan saya difahamkan orang Teluk Intan. Kalau dari Teluk Intan bertanding di Teluk Intanlah dan apa hal nak bertanding kawasan Parlimen Tanjung Malim.

“Pada kita ADUN ini memerlukan calon yang memahani kawasan dan mereka kelihatan (bebas) tidak serius. Kalau serius akan ketengah calon anak tempatan dan jadi hantar calon tidak serius.

“Calon sebagai ADUN adalah orang tempatan yang ketahui hasrat tempatan seperti penduduk Felda, kampung tradisi, masyarat Orang Asli, India dan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Bangunan UMNO Tanjung Malim di sini hari.

Penyokong Barisan Nasional (BN) berkumpul di bangunan itu sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini berikutan kematian ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

DUN Slim yang memiliki 23,094 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Ia melibatkan pertandingan antara Mohd. Zaidi Aziz, 43, yang mewakili BN, Amir Khusyairi, 38, dan pendidik, Prof S Santharasekaran, 44.

Mengulas lanjut, Ahmad menambah, dalam sejarah negara ini belum ada lagi calon bebas yang memenangi PRK.

“Ini entah dari mana-mana dipilih walaupun sama parti melayu tapi parti mereka belum berdaftar dan terpaksa jadi calon bebas.

“Tidak ada di Malaysia dalam sejarah terkini PRK calon bebas boleh menang. Namun kami tidak anggap mudah cabaran akan lawan sungguh kerana di belakang kami ada penyokong mereka juga terutama pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak cabaran ringan dan remeh.

“Saya gesa penduduk dan pengundi pilih anak tempatan yang banyak pengalaman dan diberi keputusan jadi calon wakil rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette