Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi hadir bagi menghantar borang pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Dewan Sri Tanjong, Tanjung Malim, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2020.

TANJUNG MALIM – Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi menjelaskan kredibiliti seorang calon lebih penting berbanding anak tempatan dalam memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim pada 29 Ogos ini.

Amir Khusyairi yang mewakili parti baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengakui beliau bukan anak kelahiran Slim seperti dakwaan UMNO.

“Memang betul saya tidak mengundi di sini. Soal berasal mana tidak penting. Yang penting kredibiliti calon.

“Buat masa ini, pada saya apa yang lebih yang penting, saya mengajak pengundi-pegundi di Slim ini memilih calon yang mempunyai kredibiliti.

“Yang kedua, calon yang anak muda dan calon yang mampu menawarkan khidmat yang terbaik kepada pengundi-pengundi di DUN Slim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan nama calon yang layak bertanding di Dewan Seri Tanjong, Bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

Beliau yang juga seorang peguam syarie diminta mengulas dakwaan UMNO sebelum ini yang mendakwa calon Bebas itu bukan anak tempatan dan berasal dari Teluk Intan.

Amir Khusyairi akan berdepan calon Barisan Nasional yang juga Pemangku Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz dan pendidik, S Santharasekaran.

Pada Rabu lalu, Dr. Mahathir yang juga bekas Pengerusi Bersatu mengumumkan menubuhkan parti baharu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Amir Khusyairi sebagai calon parti itu di PRK DUN Slim.

Mengulas lanjut, Amir Khusyairi turut mengesah beliau telah keluar dari Bersatu atas dasar prinsip diri.

“Saya berpegang kepada prinsip dan saya percaya bahawa lanskap politik kita banyak yang perlu dibetulkan terumatanya memperbetulkan apa yang kami rasa tidak betul,” katanya.

Sementara itu, Amir Khusyairi memberitahu, beliau memilih lambang pokok kerana ia mempunyai makna kepada dirinya.

“Saya memilih lambang pokok. Itu pun selepas undian dibuat di mana calon Bebas (Santharasekaran) pun memilih pokok.

“Selepas membuat undian, logo itu pokok itu menjadi milik saya.

“Saya simbol pokok itu kami ingin gambarkan kepada pengundi-pengundi di Slim bahawa akar pokok itu mencengkam tanah maknanya menunjukkan asas pendirian kami yang kuat,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Allahyarham merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14, Khusairi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. “Kredibiliti” jadi keutamaan!!
    Ye ke yop???!!
    Nak tanya….memecah belah orang melayu tu kire kredibiliti ke yop?

  2. Ni cap mana ni , sama dgn yg kasut hitam tu ya.. .. baca tu apa dia kata “… memperbetulkan apa yg kami rasa tak betul..” wa la weeii… , tak perasan ke lagi wagai warga slim rvr.. kata2 sape tu sbnarnya. Sanggup terima 22 bulan yg berlaku sblm ni betul belaka.. nauzubillah..

Comments are closed.