Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom hadir pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Sri Tanjong, Tanjung Malim, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2020.

TANJUNG MALIM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim diumum pukul 10 malam pada 29 Ogos ini.

Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom berkata, SPR juga menyasarkan kira-kira 70 peratus pemilih akan keluar mengundi pada hari pengundian.

“SPR akan terus melaksanakan penambahbaikan pada PRK ini termasuk memaklumkan kepada pengundi untuk keluar mengundi pada waktu yang digalakkan seperti tercatat pada kad pengundi bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas proses penamaan calon PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

Azmi memberitahu, garis panduan pencegahan wabak Covid-19 turut dikuatkuasakan di pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berharap aktiviti berkempen yang bermula hari ini akan berjalan penuh harmoni serta tidak melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Azmi berkata, SPR sudah menubuhkan dua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap garis panduan pencegahan Covid-19.

Seramai 40 pemerhati pilihan raya daripada 11 organisasi termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) juga dilantik untuk memantau perjalanan proses pilihan raya itu, katanya.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftar secara rasmi serta bekas guru, S Santharasekaran, 44 tahun. – MalaysiaGazette