Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) mengiringi calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (dua kanan) berbual dengan peniaga sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di sekitar Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berasa pelik jika bekas partinya akan mengetuai Muafakat Nasional (MN).

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, ini kerana Bersatu boleh disifatkan sebagai adik bongsu jika diterima masuk dalam MN itu.

Malah jika terjadi katanya, ia adalah perkara luar biasa kerana kebiasaannya Perdana Menteri adalah pengerusi kepada pakatan politik.

“Hari ini diberitahu pula Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili Bersatu sebagai presiden bersetuju menyertai MN. Jadi ini satu perkara yang luar biasa kerana biasanya Perdana Menteri itu, pengerusi kepada gabungan yang terbesar.

“Tetapi saya tak tahu adakah MN akan setuju mengangkat beliau sebagai Pengerusi MN kerana Bersatu adalah adik bongsu dalam MN jika diterima masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen bersama calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Amir Khusyari Mohamad Tanusi, di pekan Slim River di sini hari ini.

Hari ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam amanatnya kepada ahli parti sempena persidangan Armada, Srikandi dan bahagian seluruh negara mengumumkan Majlis Tertinggi parti itu setuju untuk menyertai MN.

Muhyiddin berkata, penyertaan dalam gabungan terbabit adalah pilihan terbaik untuk parti itu kerana berada dalam satu jemaah besar atau ‘the grand coalition’ yang menghimpunkan parti-parti utama di negara ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, beliau tidak pasti kesan yang akan berlaku kepada politik negara terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika Bersatu diterima menyertai MN.

“Selama ini kita diberitahu bahawa Perdana Menteri ingin menubuhkan Perikatan Nasional malah setiap kali disebut di Parlimen, semua Ahli Parlimen mewakili kerajaan menggelarkan diri mereka sebagai kerajaan Perikatan Nasional.

“Pada masa sama kita tahu Perikatan Nasional itu tidak berdaftar dan terbaru kita dengar UMNO tidak sudi sertai Perikatan Nasional manakala, Pas, saya tak pasti,” katanya. – MalaysiaGazette

6 Komen

Comments are closed.