Suspek memeras ugut wang dari mangsa untuk menyebarkan video aksi bogel berjaya ditangkap oleh Pasukan Polis IPD Petaling Jaya di ibu negara semalam.

KUALA LUMPUR – Gara-gara merakam aksi bogel menerusi aplikasi WeChat ketika menghubungi individu tidak dikenali, seorang wanita nyaris menjadi mangsa pemerasan wang.

Tindakan mangsa mengadu insiden itu kepada polis membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam jenayah pemerasan wang itu.

Ketua polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 22 tahun pada 9 Ogos lalu.

“Gadis itu mendakwa telah menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

“Suspek meminta mangsa membuat transaksi wang sebanyak RM10,000 dan jika tidak video aksi bogelnya akan tersebar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, mangsa mengaku kepada polis bahawa beliau pernah membuat panggilan video melalui Aplikasi WeChat dengan seorang wanita yang dikenali melalui aplikasi Tam Tam dan mengakui pernah merakamkan aksi bogel.

Kata Nik Ezanee, bertindak atas maklumat, pada 14 Ogos 2020 jam 8.50 malam polis IPD Petaling Jaya menahan seorang lelaki dan wanita warga tempatan berumur 27 dan 30 tahun.

“Mereka ditangkap di pekarangan IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan polis dalam kes tersebut.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” tegas Nik Ezanee.-MalaysiaGazette