Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat enam kes baharu Covid-19 dilaporkan bagi Kluster Tawar hari ini dengan lima kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, ia menjadikan jumlah kes positif wabak itu bagi kluster ini adalah sebanyak 39 kes.

“Sehingga 16 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 899 orang telah disaring dalam kluster ini.

“Di Kedah seramai 727 disaring dengan 35 kes dikesan positif Covid-19, 643 individu negatif manakala, 49 lagi individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang 164 orang telah disaring, empat dikesan positif Covid-19, seramai 155 individu negatif dengan lima lagi masih menunggu keputusan.

“Sementara di Perak pula. lapan individu telah disaring dengan tiada kes positif dilaporkan, lima individu mendapat keputusan negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, KKM sedang menjalankan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskanbagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

KKM juga katanya, akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – MalaysiaGazette