Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz mengecat mural disebuah dinding semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Pekan Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Kadar kompaun yang sedia ada sebanyak RM1,000 kepada individu yang masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih boleh dikurangkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengurangan itu atas budi bicara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengeluarkan kompaun itu.

Oleh itu jelas beliau, tiada keperluan untuk meminda akta untuk mengurangkan kadar kompaun ketika ini.

“Setiap denda tidak kira dalam mahkamah atau sebagainya,
ia cuma menetapkan denda maksimum dan masih lagi mereka boleh merayu untuk dapat pengurangan.

“Dalam mahkamah misalnya penjara dua tahun sebagai contoh tidak kira akta mana-mana pun atau hukuman denda sebanyak RM10,000 sebagai contoh maksimum, hakim ada budi bicara kurangkan hukuman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Santai Melukis Mural di Pasar Slim River di sini hari ini.

Ismail diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini yang mendesak kerajaan supaya mengkaji semula kadar denda sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka tidak memakai pelitup muka.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO hadir sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim untuk calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebarang pindaan akta memerlukan masa sedangkan kes sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan sekarang.

“Hendak pinda (akta) makan masa dan dalam sesi parlimen kali ni tidak sempat. Kita akan tunggu parlimen akan datang. Lagi berapa lama hendak tunggu, jadi kita teruskan tapi budi bicara boleh digunakan.

“Yang saya sentuh bukan Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) hanya hendak beri gambaran iaitu di mahkamah atau di mana-mana, kompaun masih boleh dikurangkan.

“Polis pun banyak kali beri pengurangan kompaun kalau bayar cepat satu ketika dulu.

“Walaupun kompaun ditetapkan pengurangan atas budi bicara,” katanya. – MalaysiaGazette