Gegaran letupan kuat di kawasan pelabuhan ibu kota Lubnan dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer daripada lokasi kejadian

TARIKH 4 Ogos 2020 pastinya kekal menjadi ingatan penduduk Lubnan khususnya di Beirut akibat insiden letupan berskala besar melibatkan lebih 2700 tan bahan kimia ammonium nitrat. Anggaran kekuatannya adalah bersamaan dengan letupan daripada 1500 tan TNT yang turut mengingatkan kita kepada peristiwa pengeboman di Hiroshima. Malah, tragedi yang berlaku di sebuah pelabuhan Beirut tersebut telah direkodkan oleh beberapa
pakar dari University of Sheffield, UK sebagai salah satu letupan bukan nuklear yang paling besar dalam sejarah. Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula melaporkan letupan tersebut telah menghasilkan gegaran kuat bermagnitud 3.3 skala Richter yang telah meninggalkan kawah sedalam 43 meter.

Lebih menyedihkan, letupan tersebut telah memberi kesan teruk terhadap penduduknya di mana lebih 220 orang telah terkorban, ribuan mangsa cedera manakala ramai lagi individu masih belum dijumpai. Tragedi ini merupakan krisis yang terburuk sejak perang saudara yang meletus di Lubnan sebelum ini. Impak serius daripada segi ekonomi dan krisis kemanusian dijangka akan mula menyelubungi Lubnan dalam masa terdekat. Tentunya peristiwa yang telah berlaku harus diambil pengajaran termasuk dalam aspek keselamatan pengurusan bahan kimia. Mengikut rekod, ammonium nitrat digunakan secara meluas sebagai bahan asas dalam industri pertanian seperti dalam pembuatan baja dan digunakan sebagai peledak lombong. Ini bukanlah kali pertama tragedi letupan yang berpunca daripada stor penyimpanan ammonium nitrat. Pada tahun 2015, letupan di Tianjin China mengorbankan 165 nyawa. Manakala letupan di Ryongchon Korea
Utara pada tahun 2004 yang telah mengorbankan 160 nyawa.

Sebelum itu, berlakunya letupan di Galveston Bay, Texas Amerika Syarikat pada tahun 1947 yang telah mengorbankan 581 nyawa serta letupan di Oppau Jerman pada tahun 1912 yang telah mengorbankan hampir 600 nyawa. Semuanya berpun ca daripada sumber bahan kimia yang sama iaitu ammonia nitrat. Pihak berkuasa tempatan dan pakar antarabangsa masih lagi berdebat mengenai punca letupan besar di Beirut. Terdapat pelbagai kemungkinan yang membolehkan keseluruhan ammonium nitrat yang tersimpan di pelabuhan tersebut meledak, termasuk dakwaan berlakunya kebakaran kawasan
stor berhampiran yang menyimpan mercun. Terdapat juga dakwaan letupan tersebut berpunca daripada tindakan sabotaj serta dilakukan oleh pengganas. Daripada laporan awal yang diterima, tragedi ini berkemungkinan berlaku berpunca daripada
pengurusan penyimpanan bahan kimia berbahaya yang tidak mengikut piawaian dan mengabaikan langkah-langkah perlindungan keselamatan. Di Beirut, ribuan tan ammonium nitrat telah disimpan sejak tahun 2013 lagi yang dikeluarkan daripada sebuah  kapal yang mengalami masalah.

Bahan tersebut telah tersadai di pelabuhan Beirut dalam jangka masa yang lama. Justeru, pelbagai perkara boleh berlaku terhadap bahan berbahaya tersebut termasuk bertindak balas dengan bahan lain dan juga potensi berlakunya kebocoran tangki atau bekas penyimpanan. Dalam konteks pengurusan, setiap bahan kimia mempunyai kaedah khas yang dikhususkan dalam setiap proses pembungkusan, pengangkutan dan penyimpanan. Terdapat juga kaedah kawalan keselamatan dan kaedah rawatan sekiranya berlaku kemalangan yang melibatkan bahan kimia tersebut. Data setiap bahan kimia tersebut seperti komposisi, kestabilan dan kereaktifan terkandung di dalam rekod safety data sheet (SDS).

Secara umumnya terdapat banyak peraturan dan piawaian yang dijadikan praktis di seluruh dunia dalam memastikan keselamatan pengurusan bahan-bahan kimia merbahaya. Bagi industri perkapalan iaitu pengangkutan air terbesar yang melibatkan pelabuhan, kandungan barangan yang diangkut oleh kapal -kapal kargo perlu mematuhi kod IMDG iaitu International Maritime Dangerous Good. Barangan yang diangkut menggunakan kapal yang tidak mematuhi kod IMDG tidak dibenarkan untuk diturunkan dari kapal dan harus disimpan diatas kapal sahaja (stowed on deck). Bagi ammonium nitrat, ia adalah bahan yang dikawal dibawah kod IMDG. International Labour Organization (ILO) yang berpangkalan di Geneva juga mengeluarkan garis panduan bagi keselamatan pelabuhan yang dipanggil sebagai Safety and Health in Ports, ILO Code of
Practice. Setiap pelabuhan juga mempunyai peraturan keselamatan yang tersendiri yang perlu diguna pakai.

Berdasarkan kod UN NO 0222 dibawah IMDG, ammonium nitrat tidak boleh diturunkan dari kapal sekiranya ammonium nitrat yang dibawa mengandungi lebih daripada 0.2% jisim bahan mudah terbakar, termasuk sebarang bahan organik yang dikira dan lain-lain. Manakala larutan ammonium nitrat yang pekat dan panas juga tidak dibenarkan mengikut kod UN NO 2426. Bagi industri penerbangan terutama melibatkan kargo, peraturan-peraturan yang melibatkan bahan kimia berbahaya terkandung jelas di dalam International Civil Aviation Organization (ICAO) Dangerous Good and Prohibited Items dan juga di dalam Dangerous Good Regulations di bawah International Air Transport Association (IATA).

Bagi penggunaan bahan kimia di industri, peraturan Control of Industrial Major Incident Hazards CIMAH perlu dipatuhi. Di Malaysia, CIMAH dikuatkuasa dan dipantau oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Paraturan ini turut memberikan panduan kepada pengilang industri melibatkan pemprosesan, penggunaan, pengeluaran atau penyimpanan bahan berbahaya jika melibatkan kuantiti yang melebihi jumlah yang dibenarkan. Selain itu, JKKP juga mengeluarkan garis panduan dan peraturan berkaitan penyimpanan bahan kimia berbahaya di dalam gudang atau dikenali sebagai Guidelines On Storage of Hazardous Chemicals: A Guide For Safe Warehousing Of Packaged Hazardous Chemicals yang digazetkan pada tahun 2005.

Tragedi letupan di Beirut ini seharusnya diambil iktibar bagi pengurusan penyimpanan bahan-bahan kimia secara skala besar yang terdapat di negara kita terutama di kawasan pelabuhan dan juga di kawasan-kawasan perindustrian. Penyimpanan bahan-bahan kimia yang berbahaya perlulah diuruskan dengan praktis yang paling baik dan mematuhi semua piawaian yang ditetapkan. Pemantauan dan penguatkuasaan juga mestilah dilakukan dengan kerap dan teratur dalam semua aspek prosedur operasi piawai. Harus diingatkan, bukan hanya mereka yang berada di dalam industri, tempat kerja, pelabuhan, dan
juga pengangkutan udara sahaja yang perlu menguruskan bahan kimia berbahaya dengan betul. Kita yang berada di rumah juga seharusnya mengamalkan prosedur keselamatan. Contohnya, penyembur aerosol (pembunuh nyamuk dan cat) tidak boleh diletakkan berhampiran sumber api seperti dapur, kerana ia juga akan menyebabkan letupan dan juga kebakaran di rumah.

Tuntasnya, undang-undang dan peraturan-peraturan khas bagi pengurusan bahan kimia berbahaya sudah lengkap dan tersusun rapi. Walau bagaimanapun, pematuhan dan juga penguatkuasaan yang berkesan perlu diperkasakan. Jika semua pihak mengambil berat akan perkara ini bermula awal dan masing-masing tidak bersikap berlepas tangan, tragedi sebesar letupan di Beirut mungkin boleh dielakkan dari awal.

Oleh: Oleh: Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Saintifik bagi Kes Pembuangan Secara Haram Sisa Kimia Berjadual di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang Johor pada tahun 2019.