Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Hizwan Ahmad bercakap pada sidang media mengenai peranan PBT dan NGO terhadap pembangunan usahawan setempat di Ukay Perdana, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Usahawan Islam Malaysia hari ini menegur sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa sebilangannya enggan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Presidennya, Tengku Imran Tengku Zainal Abidin berkata,  NGO sebenarnya memainkan peranan penting kerana lebih rapat dengan masyarakat sekaligus boleh menjadi medium terhadap penyaluran masalah setempat kepada PBT.

Sebagai contoh ujar beliau, masalah yang dihadapi oleh para peniaga di suatu kawasan boleh disalurkan kepada NGO setempat untuk disampaikan kepada PBT.

“Peranan NGO  juga terlibat dalam pembangunan setempat.

“Ada isu-isu contoh di Ukay Perdana sebelum ini tentang penempatan peniaga-peniaga, aspek keselamatan contohnya,  tiada yang sukarela bawa isu ini dan ketengahkan kepada kerajaan.

“PBT dengan NGO tulang belakang kerajaan walaupun badan bukan kerajaan tapi lebih rapat dengan rakyat, lebih memudahkan kerajaan untuk tahu isu setempat,” katanya kepada pemberita.

Presiden Pertubuhan Usahawan Islam Malaysia, Tengku Imran Tengku Zainal Abidin bercakap pada sidang media mengenai peranan PBT dan NGO terhadap pembangunan usahawan setempat di Ukay Perdana, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2020.

Masalah setempat ujar beliau akan lebih mudah dikenal pasti oleh PBT seterusnya sampai kepada kerajaan dengan kerjasama yang baik di antara kedua-dua pihak ini.

Dalam pada itu, Pengerusi  Pertubuhan Usahawan Islam Malaysia Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berpendirian hubungan di antara PBT  dan juga NGO tidak seharusnya mempunyai jurang.

Justeru beliau menyeru agar PBT memberi ruang dan peluang untuk NGO menyalurkan  masalah setempat.

Pengerusi Pertubuhan Usahawan Islam Malaysia, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak bercakap pada sidang media mengenai peranan PBT dan NGO terhadap pembangunan usahawan setempat di Ukay Perdana, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2020.

“Dalam suasana begini kita boleh merapatkan hubungan kita dengan PBT. Saya ingin menyeru pihak PBT untuk memberi ruang dan ruang sebagai saluran peniaga dan masyarakat menyampaikan masalah. Ini semangat yang patut ada di pihak PBT. Jangan kita terlalu taksub dengan kuasa kita,” ujarnya.

Pertubuhan berkenaan terdahulu mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),  Nor Hizwan Ahmad membincangkan tentang peranan NGO yang tidak boleh dinafikan.

Pertubuhan Usahawan Islam Malaysia memaklumkan akan menyerahkan memorandum berkenaan tuntutan mereka berkaitan peranan NGO kepada masyarakat kepada KPKT dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette