KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Pulai tidak boleh berasa senang hati dengan tindakan beberapa cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti untuk bersama dengan Parti Pejuang.

Sebaliknya, UMNO Bahagian Pulai perlu terus bekerja keras, tidak lalai dan alpa tentang kebajikan rakyat di Parlimen itu terutama di Kempas dan Perling.

Ketua Penerangannya, Muhammad Shaqib Shahrilnizam berkata, UMNO perlu mengingatkan kepada pengundi Melayu di kawasan Pulai bahawa, kewujudan Parti Pejuang ini tidak lain dan tidak bukan hanya demi nyawa politik anak Tun Dr Mahathir Mohamad yang semakin hari terumbang-ambing.

Parti ini juga akan merosakkan politik orang Melayu memandangkan parti ini bersifat repetitif iaitu perjuangannya yang sama dengan UMNO dan Bersatu.

”Kita harus menyakinkan kepada rakyat terutama sekali di Parlimen Pulai, bahawa Barisan Nasional Pulai mampu memberikan perkhidmatan lebih baik dan mampu lantang bersuara di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen demi kebajikan dan taraf hidup rakyat Parlimen Pulai yang lebih baik berbanding dengan parti lawan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas tindakan beberapa cawangan dalam Bersatu Pulai yang diketuai oleh Ketua Cawangan Pengkalan Rinting, Hamiruddin Hamzah yang mengeluarkan kenyataan tidak percaya sekaligus keluar daripada parti tersebut.

Shaqib berkata, gerakan ini boleh dikira sebagai langkah pertama untuk membubarkan Bersatu Bahagian Pulai selepas Ahli Bersatu daripada cawangan Bukit Kempas, Bukit Mewah, Cempaka dan Pengkalan Rinting mengumumkan keluar parti.

Beliau turut mengkritik Datuk Osman Sapian yang seakan-akan langkah seribu apabila berpindah dan menjadi Ketua Bahagian Ayer Hitam.

”Saya menyarankan kepada YB Osman Sapian, jika YB mahu berpolitik di bahagian Ayer Hitam, maka bertandinglah di kawasan situ, orang tempatan mahukan wakil rakyat yang menetap dan berpersatuan di kawasan setempat, ini penting kerana hanya orang tempatan sahaja yang faham masalah tempatan,” ujarnya.

Daripada sudut akar umbi, jumlah keseluruhan sebelum ini sebanyak 16 cawangan dalam Bersatu Pulai, sekarang ini hanyalah tinggal 12 cawangan sahaja.

Dalam masa sebulan, berkemungkinan nombor ini akan menurun dengan mendadak, parti ini ibarat nyawa-nyawa ikan dengannya kurang sokongan akar umbi tempatan, lebih baik bubar sahaja parti tersebut di Parlimen Pulai.

Selain itu, dengan adanya gerakan sebegitu, ahli UMNO tidak perlu risau tentang pilihan raya akan datang, oleh kerana, ia akan menjadi dua penjuru terutama sekali di kawasan DUN Kempas, oleh kerana cawangan di kawasan Kempas sudah berkurangan, tambahnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. org tua gila tu mmg xpernah memikirkan nasib agama,bangsa dan negara,
    org tua gila tu hanya pikir utk selamatkan diri dan anak beranaknya,
    setelah org melayu berpecah kepada lebih byk parti,
    org tua gila tu menambah lagi parti utk memecahkan org melayu,
    yg peliknya org melayu masih lagi percaya kt org tua gila tu

Comments are closed.