KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengajak 10 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan bagi merebut hadiah menarik yang bernilai lebih RM1 juta sempena sambutan ulang tahun ke-30 unit amanah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, ASNB menganjurkan dua kempen sepanjang sambutan tersebut.

Kempen pertama ialah ‘Kumpul dan Menang’ yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1 juta, manakala kempen kedua ialah ‘Jom Auto Labur’ yang menawarkan Proton Saga 1.3L Premium AT sebagai hadiah utama.

Tempoh kempen ialah dari 1 Ogos hingga 17 Disember 2020.

Mohammad berkata, untuk peluang memenangi hadiah menerusi kempen ‘Kumpul dan Menang’, peserta hanya perlu membuat pelaburan minimum RM30 untuk satu mata penyertaan atau 3 mata penyertaan jika pelaburan dibuat menerusi portal dan aplikasi myASNB.

Menerusi kempen ‘Jom Auto Labur’ pula, pengguna kemudahan Auto Labur@myASNB sedia ada hanya perlu menambah potongan bulanan minimum dalam ASB sebanyak RM30 daripada potongan sedia ada, manakala pengguna baharu pula perlu menetapkan potongan bulanan minimum RM60.

Untuk mula menggunakan kemudahan Auto Labur, pelabur perlu terlebih dahulu mendaftar dalam talian di www.myasnb.com.my untuk menjadi pengguna portal myASNB.

”Lebih banyak mata penyertaan yang dikumpul, lebih besarlah peluang untuk menang. Apa yang perlu dilakukan pelabur ialah melabur dalam ASB untuk mengumpul sebanyak mungkin mata penyertaan. Inilah masa terbaik untuk mereka yang belum mempunyai akaun ASB untuk membuka pelaburan ASB,” tambah beliau lagi.

Bagi peraduan Video Pendek ASB pula, terdapat empat kategori yang dianjurkan iaitu LIGHTS, CAMERA, & ACTION, Detik Indah ASB, Cerita Labur Adik dan Cerita Labur Si Cilik yang masing-masing menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000, RM33,000 dan RM18,000.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 September 2020.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen pelaburan dan peraduan sempena sambutan Ulang Tahun ASB yang ke-30, sila layari https://www.asnb.com.my/asb30tahun.php atau imbas kod QR

– MalaysiaGazette