aplikasi mysejahtera
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan aplikasi MySejahtera selamat daripada kebocoran data oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata, data yang diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera itu dilindungi mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan ketirisan data selain daripada penggunaan aplikasi itu akan disiasat polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap individu atau pihak yang menceroboh, menyebar dan menyalahgunakan maklumat peribadi yang direkodkan melalui kedua-dua kaedah itu.

“Kita memberi jaminan bahawa aplikasi MySejahtera ini kita lindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Kita tidak sewenang-wenangnya untuk mendedahkan maklumat yang berada di bawah rekod MySejahtera yang digunakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan.

“Bagi maklumat peribadi yang ditulis secara manual juga kita akan ambil tindakan jika berlaku pencerobohan data peribadi,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Pokok Sena-PH), Datuk Mahfuz Omar yang mahu KDN menyatakan sejauh manakah maklumat peribadi yang direkod menggunakan aplikasi MySejahtera dan secara manual dilindungi.

Ismail menambah, pihak berkuasa juga akan memastikan maklumat yang direkodkan secara manual ketika memasuki sesuatu premis mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selamat dan terkawal. – MalaysiaGazette