Timbalam Pendakwa Raya, Julia Ibrahim bercakap kepada media mangenai keputusan seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hampir tiga tahun lalu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan yang melalui perjalanan perbicaraan kes kematian 23 individu di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menerima baik keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memanjatkan kesyukuran apabila menyifatkan usaha mereka menegakkan keadilan bagi membuktikan wujud perbuatan jenayah berjaya.

“Kita terima keputusan sebab kita sudah buat (jalani) kes dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah kes selesai,” katanya kepada pemberita yang kelihatan sebak.

Beliau turut memaklumkan bersedia bersedia menghadapi peguam bela yang akan membuat rayuan.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan seorang remaja berusia 19 tahun bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, hampir tiga tahun lalu.

Peguambela, Mohd Haijan Omar hadir pada keputusan anak guamnya yang didakwa membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hampir tiga tahun lalu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2020.

Dalam pada itu peguam bela mewakili remaja berkenaan Mohd Hajjan Omar berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

“Keputusan bertulis penuh akan disediakan oleh hakim dan saya akan membuat rayuan berdasarkan keputusan bertulis itu nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata anak guamnya tetap dengan pendiriannya berada di tempat dan masa yang salah ketika tragedi menyayat hati itu pada 14 September 2017. – MalaysiaGazette