Roberto Speranza. foto Agensi

ROME – Itali akan menutup disko dan kelab malam serta mewajibkan pemakaian pelitup muka untuk aktiviti luar terutama dalam kalangan golongan muda.

Pelaksanaan semula peraturan ketat itu dibuat ekoran lonjakan kes koronavirus.

Itali merekodkan kenaikan dua kali ganda kes jangkitan koronavirus dalam seminggu yang lalu berbanding tiga minggu sebelumnya.

Rata-rata pesakit berumur di bawah 40 tahun.

Peraturan baharu akan bermula pada hari Isnin – dua hari selepas cuti umum di Itali apabila banyak orang muda keluar untuk menari – dan akan berlangsung hingga awal September.

Pelitup muka diwajibkan dipakai antara jam 6 petang dan 6 pagi di kawasan yang berdekatan dengan bar dan pub serta tempat berkumpul.

“Kami tidak mahu pengorbankan beberapa bulan lalu menjadi sia-sia. Keutamaan kami pada pembukaan semula sekolah pada bulan September, dengan keselamatan penuh,” kata Menteri Kesihatan, Roberto Speranza di Facebook.

Speranza mendesak golongan muda untuk berhati-hati kerana mereka boleh menularkan jangkitan kepada ibu bapa, datuk dan nenek mereka – golongan berisiko tinggi.

Kerajaan Itali masih memberi kebenaran membuka kelab-kelab malam walaupun orang awam tidak mematuhi penjarakan sosial dan enggan memakai pelitup muka.

Industri itu menjana pendapatan sebanyak 4 bilion euro setahun dan penutupan industri berkenaan akan membawa kerosakan kepada ekonomi Itali, kata Menteri Industri, Stefano Patuanelli.

Pada hari Ahad, sebanyak 479 kes jangkitan Covid-19, susut 629 berbanding pada hari Sabtu.

Sejak penularan wabak itu pada 21 Februari lalu, Itali merekodkan lebih daripada 35,000 kematian. – MalaysiaGazette