SACRAMENTO – Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan akan menyiasat laporan tentang puting beliung api yang berlaku akibat kebakaran di kawasan seluas 8,093 hektar di utara California.

Ahli Meteorologi, Dawn Johnson yang berpangkalan di Reno, Nevada berkata, agensi itu menerima aduan mengenai kejadian itu di Lassen, California, kira-kira 40 kilometer dari barat laut Reno.

”Ia bukan seperti angin puting beliung yang biasa berlaku, semuanya akan hilang dan anda selamat untuk pergi dan siasat.

“Dalam kes ini, ada kebakaran besar di lokasi yang sama, jadi logistiknya jauh lebih rumit,” kata Johnson.

Radar Doppler menunjukkan sekurang-kurangnya terdapat lima pusaran, tetapi Johnson mengatakan bahawa dia tidak dapat mengesahkan bahawa ia boleh diklasifikasikan sebagai puting beliung api

Beberapa komponen bersatu untuk membentuk puting beliung api: angin ribut, kepanasan melampau daripada kebakaran yang menyebabkan udara naik dengan cepat, kata Ben Gelber, seorang Ahli Meteorologi di Columbus, Ohio.

Unsur-unsur lain, seperti gas yang dibebaskan daripada tumbuh-tumbuhan yang terbakar juga berfungsi sebagai bahan bakar untuk puting beliung.

Pada petang Sabtu lalu, Perkhidmatan Cuaca menyiarkan amaran mengenai kemungkinan “puting beliung api” akibat kebakaran di beberapa bahagian di Lassen.

Kebakaran besar itu bermula pada 14 Ogos lalu, berhampiran Loyalton, California, kira-kira 72km di barat Reno.

Setakat semalam, hanya 5% kebakaran berjaya dikawal.

Susulan itu, kerja-kerja pemindahan wajib dikeluarkan bagi penduduk di daerah utara California.

Puting beliung api pernah berlaku pada tahun 2018 di kejiranan di Redding, California, kira-kira 257 kilometer di utara Sacramento.

Kejadian itu mengorbankan empat orang dan 40,000 penduduk dipaksa keluar dari kediaman masing-masing. – MalaysiaGazette