Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Shahrom bercakap pada sidang media berkaitan pengumuman tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah. foto MALAYSIA GAZETTE, 17 OGOS 2020.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September hadapan sebagai tarikh undi Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-16 selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Shahrom dalam sidang media khas di sini juga memberitahu, tarikh penamaan calon adalah 12 September manakala 22 September merupakan tarikh mengundi awal.

Azmi juga memberitahu ketika ini pihaknya tidak menerima apa-apa arahan daripada mahkamah berhubung kes cabar pembubaran DUN yang kini sedang melalui prosiding mahkamah.

“Kami tidak terima apa-apa arahan daripada mahkamah, jadi kita teruskan PRN dan tetapkan tarikh-tarikh yang saya sebut tadi,” katanya di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.

Sebaliknya kata Azmi, sejak pembubaran SPR perlu menetapkan tarikh dalam tempoh 60 hari seperti ketetapannya.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam pada 25 September. –MalaysiaGazette