KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Julai 2020 menurun 1.3 peratus kepada 119.9 berbanding 121.5 pada bulan yang sama sebelumnya.

Penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-10.3%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-2.6%), pakaian & kasut (-0.6%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (-0.1%) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Walau bagaimanapun, makanan & minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.0 berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, pelbagai barangan & perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.9 peratus diikuti komunikasi (1.6%), kesihatan (1.1%) dan pendidikan (1.2%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Julai 2020 berbanding Jun 2020.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Julai 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.9%), komunikasi (1.6%) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.4%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Menurutnya, walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.7 peratus berbanding Jun 2020, peningkatan ini telah disumbangkan oleh pengangkutan (4.9%), pendidikan (0.4%), hiasan, perkakasan & penyelenggaraan. isi rumah (0.3%), pelbagai barangan & perkhidmatan (0.3%), makanan & minuman bukan alkohol (0.1%), minuman alkohol & tembakau (0.1%) dan kesihatan (0.1%).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 menurun 0.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0%), pakaian & kasut (-1.1%) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-0.7%).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.7 peratus hingga -2.2 peratus bagi Julai 2020 berbanding Julai 2019, penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2%), diikuti oleh Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.1%), Sarawak (-1.9%) dan Kedah & Perlis (-1.9%).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol dan yang tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3%), Perak (1.7%), Pahang (1.7%), Terengganu (1.7%) dan Johor (1.6%) yang turut melebihi paras nasional.

Sementara itu, Negeri Sembilan mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras nasional iaitu 1.4 peratus bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol pada Julai 2020. – MalaysiaGazette