Lensa MG

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan supaya kerajaan mengemaskini gaji minimum ke paras melebihi garis kemiskinan baharu.

Tegasnya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sepatutnya mencari jalan untuk membantu pekerja terutamanya yang kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji semasa pandemik ini.

Untuk rekod, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional yang baharu adalah RM2,208 manakala gaji minimum di negara ini adalah RM1,200.

“Parti Sosialis Malaysia kecewa dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang menyarankan kepada pekerja “Lebih baik kita ada peluang pekerjaan dengan gaji yang rendah daripada tiada kerja.”

“Kenyataan ini memberanikan lagi majikan untuk menekan gaji pekerja di mana sekarang pun pemotongan gaji berlaku secara berleluasa.

“YB Menteri seharusnya mengemukakan cadangan kemaskinikan gaji minima ke paras melebihi garis kemiskinan baru, dan bukannya mendesak pekerja menerima gaji yang rendah!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Biro Pekerja PSM, M. Sivaranjani, parti berkenaan telah mencadangkan supaya Skim Jaminan Pendapatan Asas ditubuhkan kepada mereka yang hilang mata pencarian.

Cadangan tersebut telah diserahkan kepada Saravanan dan Perdana Menteri pada Jun dan Julai lalu.

Selain itu, PSM turut mencadangkan bayaran diberikan sebanyak RM1,000 sebulan kepada pekerja yang telah kehilangan pekerjaan.

Bayaran tersebut adalah berbeza daripada Skim Insurans Pekerja (SIP).

“Bayaran ini hendaklah diteruskan sehingga satu tempoh masa tertentu pendapatan mereka pulih.

“Ianya mirip dengan konsep Universal Basic Income (UBI)  yang pernah dieksperimen di beberapa negara di dunia, tetapi cadangan kami ialah bantuan bersasar kepada golongan B40 sahaja yang kehilangan punca pendapatan.

“Bantuan tunai terus ini (dari perlaksanaan UBI) terbukti mendorong pekerja kembali ke arena pekerjaan lebih cepat kerana, bantuan asas ini membantu mereka membayar kos hidup sehingga mereka dapat kerja semula,” katanya lagi.- MalaysiaGazette