Fenomena merokok di tempat awam terutamanya di kedai-kedai makan dikhuatiri sudah kembali seperti dulu terutama selepas pasca Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Fenomena merokok di tempat awam terutamanya di kedai-kedai makan dikhuatiri sudah kembali seperti dulu terutama selepas pasca Covid-19.

Malah ianya juga tampak begitu ketara selepas kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan rakyat Malaysia duduk makan di restoran atau gerai sejak 4 Mei lepas.

Sejak itu, walaupun garis panduan untuk pandemik Covid-19 di patuhi hampir semua premis, ‘tabiat lama’ pula kini berulang kembali yang mana perokok dilihat menghisap rokok secara terbuka.

Malah ada segelintir golongan itu juga kelihatan tidak lagi menghisap rokok di ruang yang disediakan atau dibenarkan dan jarak tiga meter di tetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Jestin Raj Savarimuthu kepada MalaysiaGazette, penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam khasnya di kedai-kedai makan sudah kurang memberangsangkan.

“Kita boleh lihat ramai pelanggan di restoran mahupun gerai sudah mula menghisap rokok secara terbuka atau di meja makan mereka sendiri seperti dulu seperti sudah tidak ada istilah ruang tiga meter atau sudut khas lagi.

“Pemilik premis pula kini lebih fokus dalam mematuhi SOP Covid-19 dan larangan merokok pula di pandang secara ringan. Saya sendiri telah melihatnya banyak kali di beberapa tempat, bukan sahaja saya sebaliknya ramai juga netizen serta orang awam sudah mula berkongsi gambar serta pengalaman tentang isu ini.

“Seharusnya ini tidak patut di pandang dengan sebelah mata sahaja, perlu ada penguatkuasaan yang tegas dan teliti, janganlah kita patuh undang-undang serta garis panduan baharu yang lama pula dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Kata Jestin (gambar atas) lagi, sejak 1  Januari 2019 bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai Tempat Dilarang Merokok.

“Pindaan pewartaan tempat makan ini dibuat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) adalah bertujuan untuk melindungi semua dari terdedah kepada asap rokok juga untuk mengurangkan penggunaan produk tembakau.

“Ianya juga untuk menghindar bayi, kanak-kanak dan remaja terdedah kepada perlakuan tabiat merokok yang akan mempengaruhi di antara mereka untuk mencuba dan menjadi pengguna produk tembakau.

“Sebenarnya ini juga satu isu serius yang perlu diambil peduli oleh pihak berwajib pada masa ini, pemilik premis juga perlu dan patuh kepada undang-undang ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jestin juga melahirkan penghargaan tidak terhingganya terhadap pengumuman larangan merokok, menghisap vape dan juga minum arak di taman reakreasi serta taman permainan berkuatkuasa serta-merta seluruh Selangor sejak bulan lepas.

“Usaha ini menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia yang melarang meminum arak, menghisap rokok dan vape di taman permainan dan rekreasi. Hakikatnya tindakan kerajaan ini adalah untuk kebaikan kita bersama.

“Umum juga perlu mengubah tabiat buruk ini, perubahan itu juga perlu datangnya dari individu itu sendiri.

“Merokok sebenarnya mengakibatkan  kematian sebanyak 20,000 orang di Malaysia dan kita juga mensasarkan untuk mengurangkan tabiat merokok kepada 15 peratus menjelang 2025 walaupun kadar merokok sekarang menunjukkan berada ditahap 23 peratus.

“Justeru itu, saya selaku wakil AMK menggesa agar pemantauan oleh pihak berkuasa perlu kembali serta memohon kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya bagi memastikan peraturan ini dipatuhi,” katanya.

Mulai 1 Januari 2019, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara. –MalaysiaGazette