Muhammad Azlan (kiri) menunjukkan bukunya 'Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan' dan helikopter peribadi miliknya.

KUALA LUMPUR – Siapa sangka dulunya seorang pengutip sampah, kini menjadi ikon usahawan berjaya apabila bergelar jutawan hartanah.

Kisah hidup Muhammad Azlan al Amin turut ditulis dan dibukukan oleh penulis terkenal, Pahrol Mohd Juoi dan kini berada di pasaran kedai-kedai buku di seluruh negara.

Muhammad Azlan yang kini semakin meluaskan jaringan perniagaannya menerusi pelbagai anak syarikat serta Koperasi Azlan Al-Amin yang baru ditubuhkan, sangat berharap usahanya dapat memberi inspirasi serta motivasi kepada usahawan agar tidak putus asa terutama apabila negara dilanda wabak Covid-19 sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit

“Saya mahu berkongsi kisah pengalaman saya dengan harapan sedikit sebanyak ia dapat membantu menjentik sedikit motivasi kepada usahawan yang teruk terjejas ketika wabak Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut Muhammad Azlan, walaupun buku kisah hidup dan kejayaannya ditulis serta sudah dilancarkan sebelum negara dilanda musibah, beliau percaya usahawan negara ini perlukan inspirasi untuk bangkit kembali selain mengharap bantuan daripada pihak kerajaan.

Menurut beliau, kesukaran serta kepayahan bukanlah alasan untuk seseorang itu berjaya sekiranya mereka mempunyai tekad yang kuat untuk terus cemerlang.

Sementara itu, penulis buku Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan, Pahrol Mohd Juoi berkata, beliau mendapat cetusan idea untuk menulis kisah hidup Muhammad Azlan setelah melihat perjalanan hidupnya yang begitu memberi motivasi serta inspirasi kepada orang ramai.

Pahrol turut berharap agar buku itu dapat terus memberi manfaat kepada pembaca.

Bagi Yazid Adhar yang bertugas sebagai seorang guru, beliau nyata terinsipirasi dengan buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan yang kini menjadi antara buku terlaris di pasaran.

“Membaca buku ini nyata memberi inspirasi kepada saya untuk berkongsi kisah hidup dan kejayaan beliau sebagai motivasi kepada prlajar-pelajar saya di sekolah,”ujarnya.

Manakala seorang lagi guru, Muhammaf Asyraf dari Kelantan berkata, beliau sangat menggalakkan pelajar-pelajar sekolah membaca buku itu agar dapat membina jati diri untuk menjadi orang yang berjaya.

Nama Muhammad Azlan Al Amin mula menjadi bualan ramai apabila kisahnya yang bangkit daripada kemiskinan bermodalkan RM1.30 sahaja pada tahun 2010.

Beliau yang dulunya hanya bekerja sebagai pengutip sampah melahirkan rasa syukur dengan kejayaannya bergelar hartawan dan jutawan hartanah berjaya.

Sejak bulan lalu, Muhammad Azlan mula menggunakan helikopter peribadi bagi tujuan memudahkan pergerakannya ke seluruh negara.

Nyata usaha dan kerja keras selama ini tidak sia-sia dan kisahnya boleh menjadi inspirasi kepada semua pembaca. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alhamdulillh, smoga Allah menambah kesyukuran n ketakwaan kpd m azlan.. Tadbir…bangsa mlyu bjaya dunia n akhrat.

Comments are closed.