Polis dan ATM berjaya mematahkan kegiatan menyeludup masuk Pati ke negara ini.

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipercayai menceroboh ke dalam negara ini berjaya ditangkap pihak berkuasa tentera di perairan Johor.

Bahagian Perhubungan Awam Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) Melaka dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian berlaku di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) pada 18 Ogos 2020.

Semasa kejadian jam 9.15 malam itu kesemua PATI tersebut yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan itu ditangkap dalam serbuan oleh Kumpulan Quick Reaction Force (QRF) di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar, Johor.

Kesemua mereka berusia antara berusia sekitar 20 hingga 44 tahun.

“Kumpulan QRF telah menjejak beberapa kesan tapak kaki yang disyaki adalah PATI sedang bersembunyi dalam ladang kelapa sawit sebelum serbuan dibuat semalam.

“PATI ini juga dipercayai adalah saki baki daripada tangkapan semalam disyaki menunggu bot untuk lari pulang ke Indonesia,” kata kenyataan itu.

Keseluruhan nilai rampasan daripada kesemua PATI itu adalah dianggarkan berjumlah RM 11,345.00 melibatkan wang tunai RM 10,299.00 dan IR 3,712,000 (RM 1,491.00).

Tambah Markas berkenaan, kesemua PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang mengikut prosedur operasi Standard Covid-19.

Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan laporan tangkapan terhadap kesemua PATI telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

Kesemua mereka diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas menjalani ujian saringan Covid-19. -MalaysiaGazette