Tan Sri Isa Samad

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Muhammad Zahid Md Arip yang ketika itu pegawai khas politik Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak pernah membawa beg kertas atau beg lain ke bilik pejabat bekas pengerusi Felda itu.

Bekas setiausaha Mohd Isa, Zuraida Ariffin @ Shaari, 49, berkata sepanjang ingatannya, Muhammad Zahid akan masuk ke bilik majikannya tanpa membawa apa-apa.

“Adakalanya beliau akan datang dengan memegang kertas ataupun sampul surat nipis apabila bertemu dengan Tan Sri Isa.

“Seandainya itu berlaku sudah pasti saya dapat mengingati perkara ini kerana ia tidak pernah terjadi,” kata saksi pembelaan kedua itu ketika membacakan penyataan saksinya pada hari kedua prosiding bela diri Mohd Isa yang menghadapi  sembilan pertuduhan rasuah.

Semasa perbicaraan sebelum ini, Muhammad Zahid yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 memberitahu mahkamah bahawa beliau menyerahkan sebanyak sembilan kali wang berjumlah RM3 juta yang diisi dalam beg kertas dan beg hitam kepada Mohd Isa di pejabat tingkat 49, Menara Felda.

Zuraida berkata setiap individu yang mahu berjumpa dengan Mohd Isa perlu melaluinya kerana kedudukan meja wanita itu berhadapan dengan bilik tertuduh serta hanya dirinya dan polis bantuan sahaja yang mengetahui kod akses untuk masuk ke bilik Mohd Isa.

“Saya juga akan bertanggungjawab untuk membuka pintu pejabat Tan Sri Isa setiap kali beliau hadir di pejabat kerana beliau sendiri tidak mengingati kod akses tersebut …bagi pegawai khas beliau, mereka boleh keluar masuk berjumpa dan berurusan dengan Tan Sri Isa tanpa meminta kebenaran dari saya, serta saya tidak ada merekod kedatangan mereka.

“Namun, apabila Tan Sri Isa tiada di pejabat pula, sekiranya sesiapa sahaja, sama ada pegawai khas kepada Tan Sri Isa atau lain-lain individu ingin memasuki pejabat Tan Sri Isa, mereka perlulah berurusan dengan saya terlebih dahulu sebelum boleh memasuki pejabat Tan Sri Isa,” katanya.

Tambahnya, setiap kali Mohd Isa keluar dari pejabat, beliau tidak pernah membawa ataupun memegang apa-apa barang kerana barang-barangnya akan dibawa oleh pegawai khasnya, Kamar Bashah Shariff.

“Perkara yang sama juga berlaku setiap kali Tan Sri Isa tiba di pejabat beliau. Semua barangan milik Tan Sri Isa akan dibawa dan dijaga oleh Encik Kamar …sepanjang ingatan saya juga, saya tidak pernah melihat Encik Kamar membawa apa-apa beg kertas ataupun beg besar keluar daripada pejabat Tan Sri Isa,” katanya.

Saksi itu berkata kebiasaannya beliau akan masuk ke dalam pejabat Mohd Isa selepas majikannya itu keluar dari pejabatnya bagi melihat keadaan pejabat dan meja Mohd Isa,

“Saya akan menyusun meja beliau jika ia berada di dalam keadaan yang bersepah.  Setelah itu, saya akan mengunci kembali bilik beliau …saya juga tidak pernah melihat beg kertas yang ditinggalkan di dalam bilik Tan Sri Isa,” katanya.

Tambahnya, beliau hanya  akan mengambil cuti pada masa Mohd Isa tiada di pejabat ataupun semasa Mohd Isa berada di luar negara.

Mohd Isa berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Dis, 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pembelaan dikendalikan oleh peguam Siti Sarah Khalil manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

— BERNAMA