Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin langkah-langkah yang telah diambil melalui Pakej rangsangan Ekonomi Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi negara.

Ia dapat dilihat apabila angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada bulan Jun 2020 menjadi petunjuk yang jelas bahawa pemulihan ekonomi sedang berlaku sejajar dengan pembukaan ekonomi pada bulan Mei.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, angka terbaharu daripada petunjuk jangka pendek juga telah menunjukkan kesan positif yang memberangsangkan dan pemulihan telah pun bermula sejak ekonomi dibuka.

Ini termasuk eksport negara berkembang 8.8% dari tahun-ke-tahun pada bulan Jun 2020, peningkatan daripada -25.5% yang dicatat pada bulan Mei; Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 26.2% dari bulan-ke-bulan pada bulan Jun 2020 (0.4% tahun ke-tahun berbanding Mei: -21.6% tahun-ke-tahun);
nilai jualan runcit dan borong meningkat sebanyak 21.8% dari bulan ke-bulan pada bulan Jun berbanding bulan lepas.

Indeks Pengurus Pembelian untuk sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat dari nilai terendah pada tahun ini iaitu 31.3 pada bulan April kepada 50.0 pada bulan Jun dan Julai, sekaligus menunjukkan sektor pembuatan telah beralih dari tempoh penguncupan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, perbelanjaan pengguna juga telah pulih. Malaysia mencatat kenaikan 6.3% tahun-ke-tahun bagi penjualan kereta pada bulan Jun 2020.

Langkah seperti insentif cukai untuk pembelian kereta jelas menyebabkan kenaikan ini, menunjukkan perkembangan positif untuk sektor ini, juga sentimen pengguna juga telah jelas pulih, dibuktikan oleh peningkatan mendadak dalam perbelanjaan kad kredit kepada RM10.7 bilion pada bulan Jun, berbanding RM6.5 bilion pada bulan April 2020, dengan pertumbuhan disebabkan oleh perbelanjaan yang selamat dan tanpa sentuhan.

Menurutnya, pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus meningkat pada kadar 3.7% setahun dan pertumbuhan pinjaman perniagaan sedia ada meningkat dari 3.4% pada suku pertama 2020 kepada 3.9% pada suku kedua 2020.

Tengku Zafrul berkata, keputusan Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Polisi Semalaman (OPR) kepada kadar semasa sebanyak 1.75% jelas sekali menyumbang kepada persekitaran pembiayaan yang lebih baik.

Malah, kadar pengangguran negara pada Jun 2020 telah bertambah baik kepada 4.9% berbanding 5.3% pada bulan Mei.

”Pakej ransangan Prihatin dan Penjana, yang telah menyelamatkan lebih daripada 2.8 juta pekerjaan (di bawah program Subsidi Upah dan Pengekalan Pekerjaan) jelas sekali menyumbang kepada penambahbaikan kepada kadar pengangguran.

“Bagi tahun 2021, menurut BNM, KDNK negara dijangka mencatatkan pertumbuhan antara 5.5% hingga 8% manakala IMF pula mengunjurkan pertumbuhan 6.3% dan Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan sebanyak 6.9%,” katanya. – MalaysiaGazette