foto: Facebook

GEORGE TOWN – Identiti pekerja kontrak yang menjumpai cebisan tulang Anna Jenkins, wanita Australia yang hilang di negeri ini tiga tahun lepas, dirahsiakan bagi melindungi lelaki itu.

Menjelaskan perkara itu kepada wakil media hari ini, peguam yang mewakili keluarga Jenkins, S. Raveentharan berkata, ini kerana rakyat Malaysia berusia 30 tahun berkenaan juga merupakan saksi kes berkenaan.

“Kami tidak mahu dia berdepan sebarang gangguan daripada pihak ketiga atau ditimpa kejadian yang tidak diingini. Keluarga (Jenkins) sangat berterima kasih kepadanya,” kata peguam itu.

Saksi itu hadir di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kebun Bunga Jason Ong Khan Lee pagi tadi untuk menerima ganjaran wang yang diserahkan oleh Ong bagi pihak keluarga Jenkins atas penemuan cebisan tulang serta barangan milik wanita tersebut di sebuah tapak pembinaan bersebelahan Turf Club di Jalan Batu Gantung, iaitu tempat lelaki berkenaan bekerja pada 24 Jun lepas.

“Kami telah serahkan ganjaran kepada pemberi maklumat yang menjumpai cebisan tulang Anna Jenkins, seperti yang diamanahkan. Kami diminta oleh keluarga Greg (anak Anna) untuk tidak mendedahkan jumlah ganjaran. Mereka telah penuhi janji mereka,” kata peguam itu.

Raveentharan berkata bahawa saksi itu turut membuat penyelidikan sendiri di dalam kontenanya di tapak tersebut dan menghubungi keluarga Jenkins selepas memaklumkan polis akan penemuannya.

Lelaki itu berjaya menghubungi keluarga Jenkins melalui nombor pada kain rentang serta poster berhubung kehilangan wanita tersebut di kawasan berkenaan.

“Langkah seterusnya ialah mencari punca kematian, bagaimana beliau meninggal dunia kerana hanya sebahagian tulang sahaja ditemukan, bukan seluruh tubuh. Banyak persoalan tidak terjawab, sama ada mayatnya dibuang di sana … kita serahkan kepada polis untuk menyiasat,” kata Raveentharan.

Pada 11 Ogos lalu, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemukan di kawasan semak berhampiran Jalan Batu Gantung di sini pada Jun lepas didapati sepadan dengan DNA Anna Jenkins

Pada 13 Disember 2017, Jenkins, 65, dikatakan meninggalkan bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing bagi membawanya ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu kemudian meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah. Beliau dilaporkan hilang sejak itu dan laporan kehilangannya dibuat oleh suaminya. – Bernama