Datuk Saifudin Abdullah.
Saifuddin Abdullah.

SLIM RIVER – Berita baik buat penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim apabila mereka bakal menerima kadar penembusan jalur lebar dan capaian rangkaian telekomunikasi lebih baik selepas dua menara telekomunikasi baharu mula beroperasi pada suku kedua tahun hadapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kedua-dua menara baharu itu dibina di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS), masing-masing di kawasan FELDA Changkat Sulaiman dan Changkat Serunai.

Jelas beliau, kementerian juga dalam perancangan membina lima lagi menara baharu bagi menambah baik liputan di kawasan DUN berkenaan.

“Dua menara baharu itu dijangka beroperasi menjelang suku kedua tahun hadapan. Lima lagi menara baharu perkhidmatan 4G turut dirancang, manakala 25 alat pemancar di menara sedia ada juga dicadang dinaik taraf daripada perkhidmatan 3G kepada 4G.

“Di FELDA Besout, satu alat pemancar di menara sedia ada sudah dinaik taraf daripada 3G kepada 4G pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada majlis mesra bersama media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, ia adalah usaha berterusan SuruhanjayaKomunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan kadar liputan dan kualiti telekomunikasi di kawasan luar bandar.

“Ini supaya rakyat dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu yang menjurus kepada budaya hidup digital dan penduduk setempat dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, untuk perkhidmatan jalur lebar tetap, sebanyak 851 premis di seluruh negara yang menggunakan rangkaian jalur lebar tembaga (chopper) sedia ada akan dinaiktaraf kepada rangkaian jalur lebar gentian optik.

“Ia boleh menyokong perkhidmatan internet berkelajuan tinggi sehingga 1Gbps. Insiatif yang dilaksanakan Telekom Malaysia Berhad ini dijangka siap menjelang suku pertama tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette