Universiti melihat bahawa amalan biasa pelantikan pentadbir staf akademik wajar diteliti semula kerana dibimbangi bahawa staf akademik lebih banyak terbeban dengan kerja pentadbiran berbanding kerja hakiki yang biasanya disebut dengan 7P.-Gambar hiasan.

ISU dominasi pelajar perempuan dalam kemasukan ke universiti awam kembali menjadi perbualan hangat.

Statistik bilangan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf yang ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2020/2021 di 20 universiti awam (UA) menunjukkan bilangan pelajar perempuan yang berjaya memperoleh tempat adalah seramai 40,559 orang (69 peratus), manakala bilangan pelajar lelaki yang berjaya hanya berjumlah 18,109 orang (31 peratus).

Penerimaan kemasukan pelajar ke UA ini adalah berdasarkan prinsip meritokrasi yang mana semua calon layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal.

Walaupun fenomena dominasi pelajar perempuan di kampus ini bukanlah suatu perkara yang baru untuk kita namun statistik ini yang dilihat terus meningkat dan berterusan setiap tahun cukup merisaukan kita.

Dalam konteks ini, kita sama sekali tidak berhasrat untuk menafikan kebolehan dan kemampuan pelajar perempuan yang ternyata jauh lebih cerdik dan matang dari pelajar lelaki pada peringkat umur ini, malah kita juga tidak menghalang atau mahu menyekat dominasi mereka di universiti.

Semua pihak perlu akur dan menerima hakikat tersebut.

Tetapi satu perkara yang merisaukan kita adalah apabila terkenang nasib remaja lelaki yang gagal mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran.

Perlu terima kenyataan bahawa tidak semua ibu bapa yang mampu menghantar anak-anak mereka ke institusi pendidikan swasta yang kita sedia maklum menelan belanja yang besar.

Maka pilihan yang ada untuk pelajar-pelajar lelaki yang tercicir dan kurang berjaya ini ialah sama ada mencari peluang pekerjaan yang ternyata agak sukar untuk diperolehi dengan kelayakan akademik yang tidak begitu baik ataupun terlibat dalam gejala-gejala yang kurang sihat seperti mencuri, merompak dan meragut demi memperoleh wang saku untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Dalam keadaan sekarang yang menyaksikan bilangan graduan universiti semakin meningkat, ditambah pula dengan kadar pengangguran yang turut membimbangkan, pastinya peluang untuk golongan remaja lelaki yang hanya memiliki kelayakan yang kurang memuaskan di peringkat STPM untuk menembusi pasaran kerjaya adalah sangat sukar.

Maka ternyata ramai daripada mereka yang dilihat kecewa dan tiada hala tuju yang jelas di mana akhirnya boleh mendorong mereka bertindak mengikut emosi dan nafsu dengan memilih jalan mudah apabila terjerumus ke dunia jenayah yang menjanjikan pulangan wang yang mudah dan segera.

Akibatnya juga masalah sosial dalam kalangan belia di negara kita boleh terus meningkat dan merungsingkan semua pihak.

Golongan ini yang umurnya sekitar 19/20 tahun adalah kumpulan anak muda yang mudah terpengaruh dengan pelbagai unsur tidak sihat yang berada di sekeliling mereka jika tidak dididik dan dibimbing dengan sewajarnya.

Maka di sini peranan ibu bapa dilihat cukup penting. Mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak mereka yang kurang berjaya seperti ini.

Mereka perlu membimbing anak-anak seperti ini dengan penuh berhati-hati agar tidak terlibat dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

Paling penting sekarang ialah jangan marah atau kecewa dengan kegagalan mereka untuk melanjutkan pengajian ke universiti, sebaliknya bagi dorongan dan motivasi untuk mereka mencari jalan alternatif bagi mencapai kejayaan.

Misalnya galakkan mereka untuk berniaga walaupun secara kecil-kecilan termasuk dalam talian atau membuka minda mereka untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang turut menjanjikan masa depan yang cerah.

Dalam konteks ini, kita berharap agar pihak kerajaan akan menambah lebih banyak lagi peluang dan tempat kepada golongan ini untuk mengikuti kursus-kursus TVET yang diminati.

Tuntasnya, kita tidak mahu terus berlaku jurang pencapaian dan prestasi yang besar antara golongan wanita dan lelaki di negara ini apatah lagi mewujudkan persepsi yang kurang baik di mana kaum wanita terus mendominasi universiti dan pasaran pekerjaan manakala golongan lelaki pula mendominasi pusat-pusat serenti mahupun penjara.

Hal ini merupakan petanda yang kurang sihat untuk kemajuan negara kita, justeru adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk bertindak segera demi menyelamatkan anak-anak muda lelaki di negara ini.- MalaysiaGazette

Oleh

Noor Mohamad Shakil Hameed

Penganalisis Isu Semasa yang juga Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

3 Komen

  1. Kaedah pembelajaran dan pemahaman pendidikan perdana lebih memenangkan pelajar perempuan. Kaedah pembelajaran menghafal dan menghadap buku yang sesuai untuk pelajar perempuan masih dinilai tinggi. Kaedah pembelajaran dan pemahaman secara hand on + pengalaman + visual sesuai untuk pelajar lelaki. Jadi cadangannya, sistem pembelajaran ketika ini perlu digabungkan dan pecahan pemarkahan perlu diambil secara 50-50. teori 50 + amali 50.

  2. Pelajar lelaki ramai buat perubatan, sbb lelki suka bidang perubatan..nnti bolh jadi doktor cocok sendiri..

Comments are closed.