TNB major power outage Malaysia Klang Valley
Beberapa kawasan di Lembah Klang dan negeri-negeri mengalami masalah bekalan elektrik terputus hari ini.- Gambar hiasan.

BUTTERWORTH – Sebanyak 10 premis termasuk sebuah rumah teres yang diubah suai menjadi kedai dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik semalam selepas didapati menjalankan kegiatan judi ekor tanpa lesen dan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya turut menahan empat individu termasuk seorang wanita, kesemuanya berusia antara 20 dan 52 tahun, yang bekerja di premis terbabit.

Bercakap kepada pemberita pada operasi pemotongan bekalan elektrik di premis judi haram yang dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, beliau berkata kebanyakan premis terbabit pernah diserbu atas kesalahan sama.

Namun katanya mereka tidak serik dan menyambung semula kegiatan dengan berlindung di sebalik kedai menjual alatan telekomunikasi dan kedai dobi.

“Kali ini kami ambil tindakan drastik dengan kerjasama pihak TNB untuk memotong terus bekalan elektrik di lima premis di Mak Mandin dan lima lagi di Butterworth mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1966,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pemilik premis agar tidak menyewakan kedai mereka kepada ejen perjudian tanpa lesen kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan.

— BERNAMA