Bersatu
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kira-kira 200 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mengumumkan keluar parti pada hari ini, diketuai bekas timbalan pengerusinya, Datuk Sazmi Miah, yang dipecat daripada parti itu, Sabtu lalu.

Sazmi, yang mewakili kumpulan tersebut, berkata tindakan tersebut diambil selepas melihat perjuangan Bersatu telah jauh menyimpang daripada perjuangan asal semasa penubuhannya bagi melawan kerajaan kleptokrasi.

“Kami tidak boleh menerima keputusan membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan (PH) semata-mata untuk menubuhkan sebuah gabungan kerajaan baharu yang terdiri daripada parti yang kami lawan bermati-matian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya pada sidang media di Kampung Biah, Perol, di sini.

Beliau berkata ahli Bersatu yang keluar pada hari ini termasuk setiausaha Bersatu Kelantan Anuwar Hamzah dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Ketereh Dr Hanafi Ismail.

Beliau turut mendakwa 24,000 daripada 42,000 ahli Bersatu Kelantan akan meninggalkan parti itu dalam masa terdekat untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast