Datuk Takiyuddin Hassan. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memuktamad pelantikan anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum berakhirnya mesyuarat Dewan Rakyat sesi semasa pada minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan bersetuju memberi laluan kepada pembangkang untuk mengisi jawatan pengerusi PAC.

Beliau turut mengesahkan bahawa pembangkang telah mencalonkan nama pengerusi PAC untuk disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilih yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat.

“Setahu saya, pembangkang hanya menyerah satu nama iaitu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kah Woh sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi PAC.

Takiyuddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional pula menamakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun sebagai Timbalan Pengerusi PAC.

Kata Takiyuddin, Jawatankuasa Pemilih masih berbincang mengenai isu berkaitan anggota PAC dan belum membuat keputusan muktamad.

“Selepas keputusan jawatankuasa dimuktamadkan, maka barulah usul berkenaan anggota baharu PAC dapat dikemukakan di Parlimen.

“Kami tahu sudah lewat, tetapi kami pasti akan melantik anggota PAC yang baharu sebelum tamatnya mesyuarat,” katanya.

Sementara itu, sumber mendedahkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional tidak bersetuju wakil rakyat DAP menjadi pengerusi PAC.

Ada juga sumber yang berpendapat bahawa pengalaman Kah Woh tidak mencukupi dan berharap Ahli Parlimen yang lebih berpengalaman dilantik mengisi jawatan Pengerusi PAC.

Kah Woh dalam sidang akhbar membidas kegagalan pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC telah menyebabkan jawatankuasa itu gagal memainkan peranan yang sepatutnya. – MalaysiaGazette