Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kegagalan satu demi satu pemimpin kerajaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak Covid-19 menjadi persoalan ramai.

Yang terbaharu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia apabila didapati melanggar SOP sejurus pulang dari Turki dan beliau sendiri mengakuinya.

Walaupun sumber terdekatnya memberitahu keputusan Covid-19 Khairuddin didapati negatif tetapi Turki mencatatkan lebih daripada 250,000 kes dan 6,061 kematian akibat Covid-19 sudah tentu memberi keresahan buat rakyat Malaysia.

Ketua Biro Wanita Angkatan Muda Keadilan Terengganu, Yuslaini Azmi berkata, jika perkara ini terjadi terhadap orang ramai, pasti hukuman keras telah dijatuhkan.

Tetapi apabila seorang ahli politik melanggar SOP Kementerian Kesihatan, beliau terlepas begitu sahaja.

Perkara inilah yang diperdebatkan oleh netizen memandangkan ia adalah kesalahan serius di saat dunia masih lagi bertarung dengan pandemik Covid-19 dan masih belum menemui vaksin untuk virus tersebut.

”Saya pasti kekhuatiran pasti terjadi buat ahli politik tersebut memandangkan telah melanggar peraturan namun begitu ini bukanlah kali pertama ahli politik serta ahli keluarga terdekat mereka melanggar peraturan dari KKM sepanjang musim pandemik ini.

”Sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali juga pernah dikenakan denda RM1000 kerana gagal mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) awal April lalu.

“Sebelum itu juga, anak Zahid Hamidi turut mencetuskan kontroversi apabila didapati melanggar arahan PKP sambil menayangkan fotonya di media sosial yang bebas berkeliaran di saat rakyat terpaksa berkurung diri dari menyebarkan virus berkenaan.

”Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mustapha Mohamed juga turut melakukan hal yang sama ketika Malaysia menghadapi peraturan ketat PKP dan menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Persoalannya, adakah undang-undang hanya terpakai untuk rakyat biasa, soal Yuslaini.

Tambahnya, kenapa kerajaan hari ini masih bersifat selektif atau double standard dalam menjatuhkan hukuman

Teresa Kok sebelum ini mendakwa menteri terbabit ingkar arahan kuarantin dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semalam berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan terhadap Khairuddin tersebut.

Sementara itu, diminta mengulas penutupan surau Al-Mustaqim di Kampung Banggol Pauh dan Masjid Seberang Bukit Tumbuh yang terletak di kawasan Parlimen Kuala Nerus selama tiga hari mulai semalam, Khairuddin bertindak mengunci mulut.

”Saya berharap pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam menjatuhkan hukuman seharusnya keadilan perlu ditegakkan. Usah kita memandang remeh akan pelbagai usaha oleh pihak KKM dalam membendung wabak ini dari menular.

”Yang bersalah tetap perlu dihukum tidak kira yang kaya atau miskin,” katanya sambil menyeru supaya pimpinan Pas hentikan budaya mengeluarkan dalil palsu bagi menipu rakyat. – MalaysiaGazette