Datuk Abdul Ghani Salleh.

KUALA LUMPUR – Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu berkuatkuasa mulai hari ini bagi menggantikan Datuk Azhar Azizan Harun yang meletakkan jawatan pada Jun lalu.

Pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam masa yang sama Datuk Nik Ali Mat Yunus pula dilantik sebagai ahli SPR sehingga mencapai usia 66 tahun selaras
dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Ghani, 62, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau telah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat, Selangor, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah  Setiausaha SPR.

Manakala, jawatan terakhir Nik Ali sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018 adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi.

Mohd Zuki berharap kedua-dua individu ini akan dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

Kerajaan juga tambahnya, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azhar dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR sebelum ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.