Penguat kuasa MPS memeriksa botol minuman keras dari salah sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen di daerah itu dalam serbuan yang dilakukan kelmarin.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita 610 botol arak dari tiga premis yang menjual minuman keras itu tanpa lesen kelmarin.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, serbuan dilakukan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di Gombak, Selayang, Rawang, Kundang dan Bandar Tasik Puteri.

“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan tiada lesen eksais (cukai yang dikenakan ke atas barang-barang tertentu yang diimport ke Malaysia) daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Zin berkata, pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun kepada pemilik premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan mengikut Seksyen 3(1) Establisymen Makanan 2007, manakala 10 kompaun atas pelbagai kesalahan lain.

Tambahnya, polis menyita 1,955 kotak rokok seludup pelbagai jenama selain menahan 23 warga asing yang tidak mempunyai permit kerja sah dalam serbuan bermula jam 3 hingga 7 petang.

“MPS bersama polis akan terus melakukan pemantauan berterusan dan tindakan tegas bagi memastikan setiap premis perniagaan mematuhi peraturan serta undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette