Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz berswafoto dengan peniaga medan selera semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 sekitar kawasan Pekan Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2020.

SLIM RIVER – UMNO menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim amat tenang berbanding PRK lain sebelum ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi itu mungkin disebabkan ketiadaan parti pembangkang yang tidak meletak calon mereka.

“Alhamdulillah selepas seminggu lebih kita dalam suasana kempen PRK, saya amat gembira kerana suasana amat tenang di Slim.

“Tidak seperti PRK kebiasaannya kerana agaknya tiada parti pembangkang yang bertanding dan hanya calon bebas yang tidak bebas mana.

“Kalau ini dapat kita kekal suasana mesra dan muhibah serta berkempen untuk menjelaskan rakyat tentang isu semasa dan pastikan ketika berkempen, pemimpin parti dan masyarakat dapat memungut dan mengutip isu dalam masyarakat kerana selepas menang dalam PRK ini, wakil rakyat dapat jalankan tugas berkhidmat kepada rakyat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program santai minum pagi bersama penduduk di Medan Arked Mara di sini hari ini.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz beramah mesra dengan sebahagian penduduk semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 sekitar kawasan Pekan Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2020.

Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut melahirkan rasa syukur kerana calon parti itu, Mohd. Zaidi Aziz sehingga kini mendapat penerimaan baik dalam kalangan pengundi dan masyarakat setempat.

Jelas beliau, rata-rata orang ramai yang ditemui Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim itu telah memberi maklum balas dan lenggok badan yang positif.

“Kita boleh baca mesej dan isyarat yang diberikan dengan maklum balas yang positif. Kalau kita pertingkatkan lagi, Mohd. Zaidi perlu terus bertemu seramai mungkin pengundi di seluruh kawasan di Slim untuk memberi kelebihan nanti.

“Jumpa orang adalah cara yang berkesan jika dibanding ceramah besar yang tidak sama kerana kadang-kadang mesej tidak sama dan adalah lebih baik bertemu secara bersemuka,” katanya.

Pada PRK DUN Slim, BN pertaruhkan Mohd Zaidi, 43, yang juga anak tempatan bagi mempertahankan kerusi berkenaan manakala peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad manakala seorang lagi calon Bebas ialah S Santharasekaran, 44. – MalaysiaGazett