Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Dalam suasana ada pihak mempertikaikannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin bakal memilih 85 peratus muka baharu sebagai calon Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri.

Pengerusi BN Sabah itu berkata, muka-muka baharu yang akan dipilih kelak terdiri daripada kalangan belia.

“Saya telah beri jaminan dari awal, daripada 100 peratus, 85 peratus muka baharu, muka baharu ini daripada orang yang belum pernah bertanding, anak-anak muda dan kita akan gabungkan.

“Hanya 15 peratus sahaja saya lihat yang sudah pernah bertanding sama ada yang menang atau sudah pernah kalah, kalau rakyat mahu kita akan pertandingkan,” katanya kepada portal SuaraTV.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, BN sedia maklum bahawa anak-anak muda memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.

“Hari ini kita faham anak-anak muda bukan seperti dulu lagi, mereka bukan hanya pemimpin pelapis tetapi harus dijadikan pemimpin negeri atau negara.

“Jadi kita masukkan dalam perjanjian baharu atau new deal supaya anak-anak muda ada keyakinan kepada UMNO dan BN.

“Menerusi perjanjian baharu ini, kita akan buat, kalau kita tidak buat dalam lima tahun ini rakyat boleh tendang kami keluar,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 September untuk hari penamaan calon, manakala hari pengundian pula pada 26 September.- MalaysiaGazette