Lima Setiausaha Agung Parti bergambar bersama kelihatan, Tan Sri Annuar Musa (tengah) dari Barisan Nasional, Datuk Takiyuddin Hasan (dua,kanan) dari PAS, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua,kiri) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Chong Sin Woon (kiri) dari MCA, dan Datuk Asojan Muniyandy (kanan) dari MIC pada Ceramah 5 Setiausaha Agung Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Besar Felda Trolak Utara, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Plihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya lima Setiausaha Agung parti-parti yang bergabung dalam Muafakat Nasional (MN) berkongsi pentas di sini malam ini.

Dewan Besar Felda Trolak Utara menjadi saksi kemunculan Setiausaha Agung, Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hadir sama, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan.

Mereka berlima hadir berucap pada program Ceramah 5 Setiausaha Agong Muafakat yang mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

Pada September tahun lalu, Piagam Muafakat Nasional dimeterai UMNO dan Pas antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Minggu lalu, Majlis Pimpinan Bersatu bersetuju menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar.

Pas hari ini pula berkata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan sudah bersetuju menyertai MN melalui satu surat yang dihantar beberapa hari lalu.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata di Kota Bharu, jawapan balas dihantar Muhyiddin susulan surat pelawaan yang diterima beliau, yang ditandatangani Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, kata Takiyuddin, perbincangan lanjut, termasuk sama ada untuk mendaftarkan MN atau PN sebagai sebuah gabungan masih belum dimulakan. – MalaysiaGazette