Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia membuka pintu kepada mana-mana bekas pemimpin dan anggota UMNO sekiranya mereka berminat menyertai parti itu.
Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah progresif bagi membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang yang lain bagi membina semula imej dan kekuatan menjelang tahun hadapan.- Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Ahli-ahli Parlimen Amanah menafikan mereka akan bertukar kapal untuk menyertai Bersatu.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Mohd. Hatta Ramli menafikan khabar angin enam wakil rakyat Amanah akan menyertai Bersatu sementara Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, desas-desus itu berasal daripada platform tidak dipercayai yang diwujudkan Bersatu.

Mahfuz percaya berita tidak benar itu timbul selepas ramai ahli Bersatu meninggalkan parti itu.

Seorang lagi Naib Presiden Amanah, Datuk Hasanuddin Yunus menafikan dirinya akan menyertai Bersatu, walaupun menerima tawaran.

Hasanuddin memberitahu Sinchew Daily, beliau pernah menerima cadangan untuk menyertai Bersatu, tetapi menegaskan akan terus bersama Pakatan Harapan.

“Ini adalah kerja mereka,” katanya apabila ditanya sama ada menerima apa-apa tawaran daripada Bersatu.

Hasanuddin juga menegaskan bahawa beliau menolak kerjasama dengan pemimpin negara yang menyeleweng dan membazir sumber negara.

Beliau juga menolak fahaman perkauman yang sempit dan diskriminasi perkauman.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr. Hasan Bahrom juga menafikan desas-desus dalam Internet yang mengatakan bahawa beliau akan meninggalkan Amanah bagi menyertai Bersatu.

Hasan yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah sebaliknya memberitahu Sinchew Daily bahawa beliau akan kekal berada dalam Amanah dan tidak akan menyertai Bersatu.

Sebelum ini terdapat khabar angin bahawa enam Ahli Parlimen Amanah, termasuk Hasan, Hatta dan Hasanuddin akan menyertai Bersatu.

Beberapa pemimpin Amanah termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengarah Strategi, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad; dan bekas Setiausaha Agung, Mohd. Anuar Tahir telah menafikan penyertaan mereka dalam Bersatu. – MalaysiaGazette