Bung Mokhtar Radin
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

SLIM RIVER – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin perlu berbincang dengan pemimpin lain yang tidak berpuas hati dengannya berhubung isu Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah meminta Bung Moktar menyelesaikan konflik dengan 13 pemimpin bahagian parti itu yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pemilihannya mengetuai parti itu dalam PRN negeri berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, tindakan itu bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN itu yang akan berlangsung pada akhir bulan depan.

“Saya tidak nampak ada permasalahan kerana mungkin ada perbezaan pendapat tetapi saya sudah meminta Bung untuk melakukan engagement dengan semua pihak dalam dan luar parti supaya kemenangan memihak kepada kita.

“Hari ini, ada mesyuarat perhubungan UMNO Sabah dan saya akan mendapatkan maklum balas selepas mesyuarat itu mengenai beberapa tindakan bersama yang akan kita lakukan bagi memenangkan semua calon kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan program ziarah kasih di FELDA Besout 2 di sini hari ini.

Sebelum ini,  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan 12 ketua bahagian parti telah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pemilihan Bung Moktar yang mengetuai parti itu dalam PRN negeri.

Abdul Rahman mendakwa pihaknya tidak mahu Bung Moktar mengetuai PRN Sabah memandangkan beliau terpalit dengan kes rasuah di mahkamah yang belum selesai.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid juga sudah meminta Bung Mokhtar mengkoordinasikan dengan semua Ketua Bahagian UMNO di Sabah selain menumpukan kerjasama dengan parti lain, termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Kita menjangka pada kali ini Parti Warisan Sabah (Warisan) akan diberikan tentangan oleh parti-parti berkenaan dan saya amat yakin koordinasi ini boleh dilakukan oleh Bung Mokhtar.

“Beliau (Bung Mokhtar) sudah bergerak ke lima zon di Sabah yang meliputi 73 kawasan DUN. Apa yang dilakukan untuk merapatkan barisan di Sabah biar pun ada perbezaan pendapat.

“Semua pihak perlu merapatkan barisan kerana kemenangan bergantung kepada penyatuan pemikiran dan tindakan pelbagai pihak bukan sahaja di dalam UMNO tetapi dalam kalangan parti-parti politik di Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette