Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan bersama Warga Veteran ATM sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Kerajaan menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menentukan sebarang tindakan ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali kerana gagal menjalani proses kuarantin wajib 14 selepas pulang dari Turki.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada siapa boleh mengatasi undang-undang dan kes akan disiasat sekiranya terdapat laporan dibuat ke atas Mohd Khairuddin.

“Semua kes disiasat kalau ada laporan. Sebelum ini tiada laporan sebab itu saya pun tidak tahu. Isu saman, kompaun dan sebagainya di bawah KKM. Saya sudah kata setiap orang tidak mengatasi undang-undang.

“Timbalan menteri ke, menteri melanggar SOP pasti mereka kena sama ada hukuman. Itu terserah kepada KMM hendak kompaun terserah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis perjumpaan bersama Warga Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Orang Ramai, Felda Besout 2 di sini hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Perindustrian Utama, Teresa Kok mendakwa Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin diri sendiri selepas pulang dari luar negara.

Teresa berkata, Mohd Khairuddin ada berkunjung ke Turki pada awal Julai dan tidak melakukan kuarantin diri di rumah.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dalam responnya meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengesahkan akan akur dengan panduan dan peraturan serta arahan ditetapkan KKM.

Semalam, Pemuda Amanah Negara Selangor hari ini membuat laporan polis ke atas Mohd Khairuddin.
– MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.