Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali berucap pada Kongres Negara 2020 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan logo dan butiran lanjut gabungan parti itu dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, perkara itu akan diumumkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang baru sahaja mengumukan penyertaannya dalam Bersatu itu berkata, semua keperluan pendaftaran sudah dipenuhi dan PN juga sudah mendapat pengesahan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Ya, PN sudah didaftarkan dengan RoS, kita sudah kemukakan semua keperluan dan syarat-syarat pendaftaran termasuk logo serta perkara lain.

“Saya kira PM (Perdana Menteri) akan buat pengumuman dalam tempoh terdekat berhubung perkembangan pendaftaran PN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kongres Negara 2020 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia hari ini.

Sebelum ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan logo Barisan Nasional (BN) digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu PRU-15 akan datang.

Malah, cadangan itu turut dipanjangkan kepada parti yang bukan komponen BN secara rasmi iaitu Pas dan Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast