Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Seramai 135 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, daripada jumlah tersebut, 123 individu telah dikompaun manakala 12 ditahan reman.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (30), tidak memakai pelitup muka (lima), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (55), aktiviti di dalam pub/kelab malam (37), gagal mematuhi arahan kuarantin (satu), dan premis beroperasi lebih masa (tujuh).

“Sebanyak 4,406 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,692 anggota telah membuat pemantauan di 3,905 pasar raya, 5,533 restoran serta 1,682 penjaja, 1,689 kilang, 3,630 bank dan 844 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,175 terminal pengangkutan darat, 227 terminal pengangkutan air serta 82 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, seramai lima warga asing telah ditahan polis semalam atas kesalahan imigresen.

Jelasnya, semalam PDRM telah mengadakan 62 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 28,272 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus. – MalaysiaGazette