Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang baru menyertai parti PPBM,Datuk Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Barisan Nasional (BN) berpeluang cerah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 29 Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia mampu diterjemahkan menerusi kerjasama jentera parti sepanjang tempoh berkempen yang sudah memasuki hari kesembilan hari ini.

“Calon BN, Mohd Zaidi Aziz mempunyai peluang yang sangat cerah dan saya dapat lihat kerjasama daripada semua parti begitu baik sekali.

“Mungkin pada bentuk yang rasmi masih ada perkara-perkara yang hendak diselesaikan tetapi saya lihat di akar umbi mereka mesra dan mereka bekerjasama dengan baik.

“Pada saya semua itu melambangkan untuk jangka masa panjang Perikatan Nasional (PN) dengan formula yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandang selama empat penggal daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai.

SPR menetapkan Selasa depan sebagai hari pengundian awal membabitkan 277 pengundi terdiri daripada polis dan pasangan, manakala 22,815 lagi pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab pada 29 Ogos.

Kawasan DUN Slim yang berkeluasan 510 kilometer persegi mempunyai 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM). – MalaysiaGazette