Veeran

KUALA LUMPUR – Pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu memberi peluang kepada golongan bukan Melayu menyertai parti itu menimbulkan tanda tanya pada pelbagai pihak.

Ini kerana Bersatu selama ini berjuang untuk kaum pribumi dan pengumuman itu agak membimbangkan.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC), Veeran Muniandy berkata, beliau tidak faham mengapa bilangan parti untuk bukan Melayu kini terlalu banyak.

“Saya sebenarnya tidak faham langsung apakah sebenarnya keperluan untuk Bersatu secara tiba-tiba mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

“Ini pada tanggapan saya sebenarnya tidak lebih memecah belahkan parti berteraskan kaum.

“Tidak cukup dengan itu, yang bukan Melayu dan bukan pribumi ini jumlahnya sedikit jadi mengapakah perlu ada begitu banyak parti di luar sana, bukan sahaja mengelirukan sebaliknya apa lebih ditakuti ialah memecah belahkan semua.

“Dengan keadaan ketidakstabilan politik di negara ini, dengan krisis dalaman sana sini kemudian datangnya pandemik Covid-19 sehingga ekonomi merudum, adakah ini menjadi satu keperluan pada masa ini?

“Kami dalam MIC sendiri dengan Presiden kami, Tan Sri SA Vigneswaran yang sentiasa cuba sedaya upaya beliau mengajak pemimpin lain terutamanya yang sudah meninggalkan parti mereka untuk menyertai MIC sahaja.

“Ini juga kerana mahu kami semua bekerjasama bersama-sama, hakikatnya ini bukan tentang sesuatu kaum sahaja, sebaliknya dasar serta perjuangan selama puluhan tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam Muhyiddin berkata, satu usul sudah dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan jika diterima mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan untuk meminda perlembagaan supaya sayap parti dapat dibentuk.

“Kita akan bersama-sama dalam satu saf kerana cabaran di hadapan kita agak besar,” katanya pada Kongres Negara 2020 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Antara pemimpin politik yang paling awal yang bukan Melayu dan bukan Bumiputra menyertai Bersatu ialah Ahli Parlimen Segamat merangkap Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Edmund Santhara beberapa minggu lepas.

Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Edmund Santhara merupakan antara pemimpin politik bukan Melayu paling awal menyertai Bersatu beberapa minggu lalu.

Ketika Bersatu diasaskan pada 2016, matlamatnya adalah memperjuang dan membantu golongan Bumiputera, tetapi sekarang ia memutuskan untuk berubah.

Malah Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang baharu sahaja menyertai Bersatu semalam berpendapat tondakan membuka keahlian kepada bukan Melayu membuktikan komitmen parti terhadap pembaharuan institusi dan politik.

“Kita perlukan parti pelbagai kaum selepas 60 tahun Merdeka. Kita perlu bergerak daripada parti berasaskan kaum dan agama kepada parti pelbagai kaum,” kata Azmin. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Jelas di sini betapa tamak dan halobanya midin dgn jemin di bwh master mind mereka iaitu madey terhadap kuasa sehinggakn habis mereka langgar, mereka nk kpd BN ttpi pada masa yg sama mereka juga mncabar BN, katanya utk perpaduan, ini buknnya perpaduan ttpi meluaskn lagi persengketaan dan permusuhan antara melayu dn juga lain2 kaum….

Comments are closed.