Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap ketika hadir ke Ceramah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, Perak. foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Pas dan UMNO diibaratkan seperti kepala lutut kerana jika dipukul bahagian kiri, bahagian kanan akan turut terasa.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebab itu apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), parti itu juga berasa cemas.

Jelas beliau, hasilnya perubahan perlu dibuat dengan menubuhkan Muafakat Nasional pada tahun lalu.

“PRU14 menyaksikan tiada parti yang berasaskan Islam yang perintah walaupun ada PAN (Parti Amanah Negara) dan mereka cuma hendak kuasa.

“Parti bukan Islam kuasai PRU14. Pas jadi cemas walaupun BN dan UMNO yang kalah.

“Kita ini macam kepala lutut. Pukul lutut kiri, kanan akan terasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Muafakat Nasional di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini hari ini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, penubuhan MN itu masih tidak memadai untuk membuat perubahan kerana kerusi Parlimen masih tidak mencukupi.

Jelas beliau, walaupun ada parti seperti MCA dan MIC, perubahan itu masih tidak boleh dilaksanakan.

“Kita terpaksa ajak parti dalam PH (Pakatan Harapan) dan mereka runtuh apabila ada yang keluar dan bergabung bersama MN.

“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) ditubuhkan untuk mencukupkan perubahan dan macam mana boleh kata kita tipu dan khianat.

“Kita tidak tipu dan mereka yang tipu. Buat manifesto janji harga minyak turun 24 jam, PTPTN dan tol dihapuskan. Sebenarnya bukan senang,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Slim, Abdul Hadi berharap pengundi akan membuat perubahan bersama MN dengan mengundi calon BN, Mohd. Zaidi Aziz.

Jelas beliau, keputusan Slim akan memberi makna besar sebagai penentu pada PRU15 dan juga Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Buatlah perubahan dengan MN kerana kita ambil parti-parti yang ada dalam kontrak sosial kerana dalam PH, banyak yang tidak hayati kontrak itu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.