Penaung BANTU, Datuk Malek Noor bersama sebahagian Ahli Jawatankuasa BANTU dan PPKSM.

KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 pengusaha kantin mahu Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan pandemik COVID-19 dinilai semula kerana ia menjejaskan pendapatan dan sekaligus menyebabkan kira-kira 50,000 pekerja hilang pekerjaan.

Mereka diwakili oleh Pertubuhan Barisan Tolong Ummah (BANTU) dan Persatuan Pengusaha-pengusaha Kantin Sekolah Semenanjung Malaysia (PPKSM) dan dijangka mengemukakan memorandum kepada Kementerian Pendidikan tidak lama lagi.

Pengerusi BANTU, Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berkata, pengusaha kantin kehilangan 70 peratus pendapatan mereka setiap bulan khususnya pengusaha di sekolah menengah.

“Jika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan kasar pengusaha sekitar RM1,500 hingga RM,2000 sehari, kini hanya RM400 hingga RM600 sehari sahaja.

“Pendapatan kasar ini belum ditolak kos bahan mentah, gaji, bil utiliti dan lain-lain lagi.

“Beberapa SOP yang ditetapkan seperti bawa bekal dari rumah, tempoh masa yang singkat untuk membeli dan membungkus makanan ke dalam kelas merupakan punca pendapatan pengusaha kantin terjejas.

“Kesannya, pengusaha kantin terpaksa memberhentikan separuh pekerja mereka untuk terus bertahan, nak bantu graduan mengganggur pun tak mampu,” katanya dalam sidang media di pejabat BANTU di Desa Pandan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PPKSM, Hamzah Omar dan Penaung BANTU, Datuk Malek Noor.

Sejak dua bulan sekolah dibuka semula selepas tiga bulan PKP, KPM menetapkan garis panduan seperti berikut :

1. Memastikan pengusaha kantin hanya menyediakan makanan berbungkus.

2. Penggunaan kerusi, meja dan ruang makan di kantin tidak dibenarkan.

3. Memastikan murid makan di dalam kelas di bawah seliaan guru pada waktu rehat.

4. Menyarankan ibu bapa atau penjaga menyediakan makanan dan minuman dari rumah bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin.

Dalam pada itu, Hamzah Omar memberitahu, pihak KPM dan sekolah perlu melihat isu ini secara menyeluruh kerana jika SOP ini diteruskan akan ada pengusaha kantin yang akan menutup operasi.

Katanya, lebih mengecewakan ada beberapa sekolah menetapkan waktu yang amat singkat untuk pelajar membungkus makanan di kantin serta satu menu sehari menyebabkan pelajar tiada banyak pilihan dan enggan membelinya.

“Ada sekolah yang mengambil pesanan sehari awal melalui guru masing-masing, tetapi keesokan harinya pelajar berkenaan tidak membelinya. Ia biasanya berlaku di sekolah rendah kerana sikap semulajadi kanak-kanak lebih selesa memilih sendiri mengikut selera mereka pada waktu makan.

“Guru-guru juga tidak makan di kantin seolah-olah memberi stigma negatif kepada pelajar lain terhadap kantin sedangkan ketika ini rakyat bebas keluar masuk restoran.

“Adakah mereka tidak terfikir saiz keluasan restoran lebih kecil berbanding kantin dalam keadaan terbuka bukan tertutup sebagaimana restoran.

“Sehubungan itu, KPM diminta memberi kelonggaran SOP kepada pengusaha kantin dan galakkan pelajar membungkus makan di kantin berbanding dibeli dari luar.

“Pengusaha kantin sebelum ini banyak membantu meringankan beban dengan menawarkan harga rendah kepada pelajar serta terbabit dalam program sekolah dengan harga terendah.

“Tanamkan dalam fikiran masing-masing belanja makan RM2 sehari untuk anak-anak anda mungkin menyelamatkan nasib seorang pekerja kantin untuk meneruskan kerjaya dan kehidupan mereka agar rantaian ekonomi kembali stabil,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dulu pengusaha kantin tersenyum riang bila tahu mendapat kontrek bagi mengusahakan kantin sekolah..tapi nampak seperti hujan di tengah hari..apa apa pun bersabar sebab rezeki itu di tangan Allah..

Comments are closed.