Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. (FGV) telah membuat pembentangan mengenai prestasi dan pengeluaran syarikat tersebut kepada Jawatankuasa Khas Menangani Isu-Isu Felda termasuk komitmen yang ditanggung oleh syarikat peladangan sawit terbesar negara itu iaitu kira-kira RM1.5 bilion setahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, syarikat berkenaan adalah sebuah syarikat yang sangat berintensifkan modal.

“Kami telah memaklumkan kepada jawatankuasa berkenaan bahawa FGV mempunyai banyak komitmen contohnya setiap tahun kami akan membelanjakan RM300 juta untuk penanaman semula, RM250 juta hingga RM300 juta untuk baja dan RM590 juta untuk pembayaran gaji.

“Jadi kami sudah memaklumkan kepada mereka sekiranya mereka mahu mengambil alih FGV, mereka perlu membuat perbelanjaan operasi hampir RM1.5 bilion setiap tahun.

“Bagi FGV kami positif tetapi kami mahu kerajaan atau Felda untuk membuat keputusan dengan mata yang terbuka,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Haris, perbelanjaan-perbelanjaan tersebut tidak termasuk perbelanjaan modal untuk perumahan iaitu kira-kira RM270 juta.

Jelasnya, FGV tidak menganggotai jawatankuasa yang diketuai Tan Sri Abdul Wahid Omar, sebaliknya hanya sebagai salah satu pemegang taruh dalam Felda.

Dengan itu, FGV menurut Haris tidak mengetahui apakah syor yang bakal dikemukakan kepada Kabinet apabila laporan berkenaan siap kelak.

Beberapa hari lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamad memberitahu, laporan yang disediakan oleh jawatankuasa itu akan dibentangkan pada awal bulan depan.

Tambah Haris, FGV turut membuat pembentangan mengenai terma-terma Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda kepada jawatankuasa khas tersebut.

“Di dalam LLA terdapat formula dan pengiraan yang jelas terhadap bayaran ganti rugi.

“Jadi, kami telah memberitahu mereka mengenai perkara ini dan sekiranya terdapat perbezaan di antara formula tersebut dengan apa yang ditawarkan, maka FGV perlu membawa perkara ini kepada para pemegang saham.

“Sudah pastilah, Felda tidak dibenarkan mengundi dalam mesyuarat tersebut kerana mereka adalah pihak berkepentingan dalam urusan ini,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nyata sudah kemusnahan FELDA bila buat FGV
    Takut tak tak takut

    Peneroka adalah hamba FELDA
    peneroka hilang hak….

Comments are closed.