PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang koperal polis yang dalam status tahan kerja diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes samun melibatkan seorang wanita warga China di sebuah kedai makan di Pandan Perdana, dekat sini, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, suspek bersama dua lelaki menghampiri mangsa berusia 29 tahun yang sedang minum di kedai makan berkenaan dan mengenalkan diri sebagai anggota polis.

Beliau berkata, suspek telah bertindak memegang kedua-dua belah tangan mangsa yang bekerja sebagai jurujual sebelum menarik mangsa ke kawasan letak kereta dan mangsa menjerit meminta tolong.

Orang awam datang membantu mangsa dengan suspek berumur 46 tahun itu berjaya ditangkap manakala dua rakannya yang berjaya melarikan diri kini diburu polis.

Mangsa tidak mengalami kecederaan tetapi mengalami kerugian wang tunai kira-kira RM5,000 serta barangan solek wanita, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini,” katanya. – Bernama